• Arissa Azman

Bank Dunia semak turun KDNK 2021 Malaysia kepada 3.3%

29 September 2021

KUALA LUMPUR: Bank Dunia telah menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2021 buat kali kedua berturut-turut kepada 3.3% daripada 4.5% sebelum ini.


Ini menyaksikan penurunan 1.2 mata peratusan berbanding semak turun kali terakhir dibuat pada Jun 2021, selepas disemak semula daripada unjuran awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada kadar 6.0%.


Semak turun itu mengambil kira penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih dijalankan, peningkatan tingkah laku pencegahan dan keadaan pasaran buruh yang merosot dijangka mengheret turun perbelanjaan swasta dan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya.


“Ini terutamanya melibatkan sektor berkaitan perkhidmatan, yang telah terjejas teruk akibat sekatan pergerakan, sektor luaran akan terus menyediakan sokongan kepada ekonomi, terutamanya eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta sarung tangan getah.


“Namun, momentum itu dijangka bergerak sederhana ekoran lonjakan semula kes COVID-19 di ekonomi-ekonomi maju dan di China,” jelas Bank Dunia dalam laporan ‘Macro Poverty Outlook’.


Ekoran lonjakan semula kes COVID-19, kerajaan terpaksa menguatkuasakan semula pelbagai sekatan pergerakan sehingga perniagaan dan isi rumah yang rentan terjejas teruk.


Malaysia menyaksikan jumlah kes terkumpul melebihi 1.3 juta hanya dalam tempoh April sehingga Ogos 2021.


Di sebalik semak turun semula KDNK Malaysia, Bank Dunia bagaimanapun menjangkakan pemulihan dalam kadar pengambilan pekerja dan pendapatan akan berbeza-beza bagi golongan miskin dan rentan.


Menurut institusi kewangan antarabangsa itu lagi, jumlah rakyat Malaysia yang meraih pendapatan di bawah garisan kemiskinan negara iaitu sebanyak AS$10 sehari dijangka menurun secara beransur-ansur dan seterusnya kembali kepada paras sebelum pandemik menjelang tahun hadapan.


Bank Dunia memberi amaran bahawa “kebimbangan ketika ini adalah pemulihan tidak menentu, dengan populasi rentan berisiko terjejas secara tidak rata, menimbulkan ancaman lebih besar terhadap ketidaksamaan”.


“Kadar pemulihan negara pada masa akan datang bergantung kepada beberapa faktor seperti kepantasan program vaksinasi nasional dan keberkesanan langkah pembendungan pandemik.


“Perkembangan positif program vaksinasi akan meringankan tekanan sistem penjagaan kesihatan dan membolehkan kelonggaran dalam langkah pencegahan. Dalam masa sama, ia perlu dilengkapi dengan mekanisma saringan dan penjejakan kukuh untuk mengurangkan risiko lonjakan semula kes,” tambah Bank Dunia.


Pada suku kedua 2021 (2Q21), ekonomi Malaysia berkembang 16.1% disokong oleh penambahbaikan dalam permintaan domestik dan prestasi kukuh yang berterusan dalam eksport.


Ini juga mencerminkan kesan asas rendah daripada kemerosotan ketara dalam aktiviti ekonomi pada tempoh sama, bagi tahun sebelumnya.


Bagaimanapun, dari segi perbandingan suku tahun, ekonomi negara menguncup 2% susulan pelaksanaan semula PKP pada Mei 2021.



*Berita asal di DagangNews.com