top of page
  • newsatmy

Bank Islam lulus kemudahan pembiayaan RM360 juta untuk PICK

29 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd telah meluluskan kemudahan pembiayaan berjumlah RM360 juta untuk Pharmaniaga Bhd dan Selgate Healthcare Sdn Bhd untuk perolehan, pengeluaran dan pengedaran vaksin COVID-19 sebagai sokongan kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Islam Group Mohd Muazzam Mohamed berkata kemudahan pembiayaan yang diluluskan dengan terma dan syarat fleksibel itu bagi membantu syarikat terlibat dalam rantaian bekalan berkaitan COVID-19 untuk mendapatkan bekalan yang diperlukan.


"Pada masa ini, pendedahan bank terhadap industri penjagaan kesihatan berjumlah lebih RM250 juta dan kami turut menyediakan kemudahan kewangan kepada syarikat dengan keperluan segera untuk melawan pandemik ini secara efektif.


"Dengan pengenalan suntikan penggalak untuk membendung penularan virus ini dengan lebih baik, Bank Islam berbesar hati untuk membiayai Pharmaniaga dan Selgate untuk membekalkan vaksin yang diperlukan," katanya dalam kenyataan semalam.


Dalam kenyataan sama, Pengarah Urusan Pharmaniaga Group Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata syarikat bersedia untuk menyediakan vaksin COVID-19 jenis Sinovac kepada kerajaan negeri dan sektor swasta sebaik sahaja kebenaran diperoleh daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, sebagai dos penggalak.


"Syarikat menjangka permintaan daripada pelbagai sektor dalam mendapatkan dos suntikan penggalak untuk membantu merangsang pertumbuhan ekonomi sebagai sebahagian daripada Pelan Pemulihan Negara," katanya.


Sementara itu, CEO Kumpulan Selgate Corporation Noor Hisham Mohd Ghouth berkata kemudahan pembiayaan daripada Bank Islam amat membantu, terutamanya dalam krisis semasa apabila kecairan kekal sebagai kunci utama dalam menjaga kehidupan rakyat.


"Berikutan kejayaan memvaksinasi lebih 90 peratus populasi dewasa pada Oktober 2021, kami sedang bersiap sedia untuk menyediakan dos suntikan penggalak kepada penerima vaksin Sinovac sebelum ini melalui program SELVAX dan mana-mana individu berumur lebih 18 tahun yang ingin mendapatkan dos suntikan penggalak," katanya.



-- BERNAMA

bottom of page