• newsatmy

Bank Rakyat tawar lanjutan moratorium kepada pelanggan terkesan pandemik

25 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat akan melanjutkan tempoh Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar yang akan berakhir pada 30 Jun ini kepada pelanggan yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19.


Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan, Bank Rakyat amat prihatin terhadap situasi terkini yang masih tidak stabil.


"Selaras dengan pengumuman berhubung Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar oleh Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) pada 12 Mei 2021, Bank Rakyat komited untuk membantu pelanggan merancang komitmen pembiayaan mereka menerusi program bantuan pengurusan kewangan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Antara kriteria pelanggan yang boleh memohon bantuan ini adalah pelanggan yang telah diberhentikan kerja dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, pelanggan yang masih dalam tempoh bercuti tanpa gaji, pelanggan yang mengalami pengurangan gaji atau pendapatan serta pelanggan yang pasangannya turut terjejas.


Selain itu, beliau berkata Bank Rakyat turut menawarkan bantuan bersasar kepada individu terjejas yang bekerja sendiri atau perusahaan kecil dan sederhana dengan memberikan fleksibiliti dalam pembayaran pembiayaan.


Permohonan lanjutan Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar ini boleh dibuat mulai 1 Julai 2021 dan pelanggan perlu menghubungi bank menerusi e-mel di bankrakyatrnr@bankrakyat.com.my dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit untuk dihubungi.


Pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Panggilan di talian 1300800800 atau mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang berdekatan untuk merancang pembayaran pembiayaan.


-- BERNAMA