• newsatmy

Bantuan Khas RM20 Juta Untuk Setiap Negeri- Tengku Zafrul

21 Mac 2021

Bantuan khas sejumlah RM260 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan yang akan diagihkan secara langsung kepada semua kerajaan negeri.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan itu akan diagihkan secara sama rata iaitu RM20 juta kepada setiap negeri untuk pelaksanaan segera projek-projek kecil bagi memulihkan ekonomi setempat di peringkat akar umbi.


Menurut beliau, projek-projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 ini termasuklah pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam, pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan awam serta penyelenggaraan premis perniagaan.


“Ini bagi memastikan peniaga kecil dan penjaja mempunyai persekitaran kondusif untuk berniaga di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.


“Demi keperihatinan kerajaan kepada seluruh rakyat, kerajaan telah menambah peruntukan bagi projek berskala kecil pada tahun 2021 melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bagi terus merancakkan aktiviti projek-projek berskala kecil di peringkat negeri dan akar umbi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.


Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, 17 Mac lalu, mengumumkan pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bernilai RM20 bilion bagi mengurangkan beban rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.


Muhyiddin berkata, sebanyak 20 inisiatif akan dilaksanakan di bawah PEMERKASA, berteraskan empat matlamat utama iaitu mengawal penularan COVID-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, memastikan agenda keterangkuman.