top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

BDBMBI bangunkan projek komersial bersepadu bernilai RM817 juta di Langkawi

22 September 2021

KUALA LUMPUR: BDBMBI Langkawi Ventures Sdn Bhd (BDBMBI), syarikat usahasama di antara Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bakal membangunkan projek pembangunan komersial bersepadu di Langkawi.


Ini meliputi ‘Premium Outlet’, outlet perniagaan, outlet makanan dan minuman (F&B) serta kemudahan rekreasi kepada para pelancong dan juga masyarakat setempat.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim berkata, projek berkenaan akan dibangunkan di kawasan seluas 40.975 ekar di Padang Matsirat yang bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.


Menurut Faris Najhan, projek tersebut dibahagikan kepada beberapa fasa dan BDBMBI akan memfokuskan kepada pembangunan Fasa 1 dan 2 terlebih dahulu yang melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM817 juta manakala baki fasa adalah untuk pembangunan pada masa hadapan.


“Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membawa syarikat tempatan ke peringkat dunia, kualiti yang dihasilkan oleh syarikat pereka fesyen di sini nanti juga telah dikenali di Malaysia serta perkhidmatan F&B turut menepati standard antarabangsa.


“Selain itu, terdapat juga perkhidmatan F&B yang mempersembahkan seni budaya Melayu di dalam unit outlet perniagaan di Fasa 1 bagi menghidupkan seni budaya Melayu supaya ‘Tak Lapok Dek Zaman’ melalui makanan, penampilan kakitangan serta persembahan budaya khas kepada pelancong tempatan dan luar negara.


“Di samping itu, dianggarkan hampir 100 peluang pekerjaan akan diwujudkan sekaligus membantu merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat dan sehingga hari ini, hampir 90% usahawan di sekitar Langkawi serta Semenanjung Malaysia telah mengesahkan penglibatan mereka dalam perniagaan di Fasa 1,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.


Jelas beliau, keseluruhan pembangunan memfokuskan kepada konsep membeli belah yang dihiasi dengan kawasan hijau serta struktur bangunan yang melambangkan kebudayaan ikonik Melayu.


Pembangunan Fasa 1 dikenali sebagai ‘Malaysia Designer Outlet’ di mana outlet-outlet fesyen tempatan, restoran-restoran masakan fusion berkonsepkan eksklusif atau 'fine-dining’ serta ‘coffee house’ akan mula dibangunkan pada Oktober 2021 dan siap sepenuhnya pada Julai 2022.


Fasa ini juga akan melibatkan pembinaan 37 unit outlet perniagaan yang di kawasan seluas 4.07 ekar.


Terdahulu, Faris Najhan menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Cadangan Pembangunan Langkawi Premium Outlet antara BDBMBI dan LADA yang disaksikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Hasil, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Pejabat Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Anis Rizana Mohd Zainudin; Pengerusi Kumpulan BDB, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi; Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated, Muhamad Sobri Osman.


Untuk rekod, pada 20 November 2019, LADA telah menganugerahkan surat tawaran kepada BDB bagi membangunkan pembangunan komersial bersepadu di kawasan seluas 24.27 ekar di Padang Matsirat, Langkawi.


Enam bulan kemudian iaitu pada 6 Mei 2021, BDB ditawarkan surat tawaran yang telah dikemaskini untuk membangunkan kawasan yang lebih besar iaitu seluas 40.975 ekar.


Jelas Faris Najhan lagi, Fasa 2 yang juga merupakan ‘jantung’ projek tersebut akan menyaksikan pembangunan ‘Premium Outlet’ di atas kawasan seluas 29 ekar yang akan bermula pada Januari 2022 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2024.


Ujarnya, Fasa 2 tersebut akan menyaksikan penawaran kepada lebih banyak jenama antarabangsa yang premium pada harga yang kompetitif sekaligus bakal menjadi destinasi pelancongan dan tarikan terbaru di pulau peranginan ini.


“BDBMBI juga yakin pembangunan Fasa 2 akan merancakkan lagi ekonomi di Langkawi dengan menawarkan hampir 1,400 peluang pekerjaan kepada penduduk Langkawi khususnya dan penduduk Kedah amnya sekaligus membantu mengatasi masalah pengangguran di negeri Kedah,” katanya.




*Berita asal di DagangNews.com


bottom of page