• newsatmy

Bekas pesakit buah pinggang tidak menang tangan siapkan tempahan kuih raya

7 Mei 2021

GUA MUSANG: Seorang remaja tidak menang tangan menghasilkan 20,000 biskut raya pelbagai jenis yang ditempah pelanggan.


Nurain Farhafarana Mohd. Saiful Asraf, 18, merupakan bekas pesakit kanser buah pinggang gigih mencari wang untuk menyambung pengajian di universiti dengan bersengkang mata menyiapkan tempahan biskut raya.


Menurut Nurain Farhafarana, sejak dari Tingkatan 1, dia mula belajar membuat biskut di laman YouTube dan guru di sekolahnya.


Katanya, tempahan biskut telah dibuka sejak awal Ramadan lalu di media sosial miliknya dan dia menghasilkan tempahan biskut di kediamannya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang, Kelantan.


"Minat buat biskut ni lahir sejak kecil lagi, selepas itu dapat sokongan daripada umi. Jadi saya teruskanlah sebab dapat sokongan, teruskanlah sebab sebelum ini tidak buat apa-apa. semasa menunggu keputusan SPM.


"Nasihat saya, walaupun kita sakit atau apa sahaja halangan, teruskan usaha untuk mendapatkan apa yang kita hendak. Jangan banding diri kita dengan orang lain. Kalau ada minat, teruskan," katanya.


Dalam pada itu ibunya, Rosleha Rajab menjelaskan sentiasa memberi sokongan selepas melihat minat anaknya sejak Tingkatan 1.


Nurain merupakan bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra dan masih menjalani rawatan susulan 6 bulan sekali di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selepas buah pinggang kanannya dibuang.


Antara biskut yang mendapat permintaan ialah almond London, tart nenas, sarang semut dan semperit.


Biskut rayanya berharga antara RM13 sehingga RM16 sebalang.


-Astro Awani