top of page
  • admin

Belanjawan 2023 turut sentuh perancangan untuk pekebun kecil getah - Fadillah


KUALA LUMPUR 20 Feb: Kerajaan akan terus berusaha membantu kalangan pekebun kecil getah, termasuk perancangan berkaitannya yang dijangka turut disenaraikan dalam Belanjawan 2023, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyentuh usaha terbabit ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Jumaat ini.

"Insya-Allah, Perdana Menteri akan sentuh apa juga perancangan kita yang berhubung kait dengan pekebun-pekebun kecil getah ini (dalam Belanjawan 2023). "Ini memandangkan bukan sahaja di sektor getah, malah pekebun kecil kelapa sawit dan perladangan lain turut terbukti memberi sumbangan besar kepada negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Persidangan Getah Antarabangsa (IRC) 2023 di sini, hari ini


Fadillah berkata usaha itu juga sejajar dengan tumpuan serta pendekatan kerajaan yang tidak hanya dari segi sudut ekonomi tetapi sosial dalam merapatkan jurang kemiskinan, pendapatan dan pembangunan yang lestari serta mampan.


"Tidak ramai yang melihat (peranan dan sumbangan) pekebun kecil. Dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) misalnya, matlamatnya adalah untuk merapatkan jurang pendapatan dan membasmi kemiskinan.

"Oleh itu, kita mahu bangunkan keseluruhannya aspek serta mematuhi garis panduan lestari yang telah ditandatangani di bawah PBB menerusi Matlamat Pembangunan Mampan 2023 dan bukan hanya dari segi alam persekitaran dan penebangan hutan sahaja," katanya.


Dalam pada itu, IRC 2023 yang bermula hari ini sehingga esok, dianjurkan bersama oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Getah Antarabangsa (IRRDB), kata kenyataan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).


Acara bertemakan 'Natural Rubber in Net Zero World: Challenges and Opportunities,' itu menyediakan platform perkongsian maklumat serta hasil penyelidikan getah kepada semua pemain industri getah selain memperkukuh jaringan kerjasama antara pihak yang berkaitan.

IRC 2023 disertai oleh 20 negara pengeluar dan pengguna termasuk China, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Nigeria, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Vietnam, Liberia, Brazil, Bangladesh dan Singapura.


Seramai 200 peserta kalangan penyelidik getah, penanam getah, pemproses, pengilang, peniaga, pengeksport, penggubal dasar serta pihak berkepentingan industri menyertai persidangan tersebut.

-- BERNAMA

Commentaires


bottom of page