top of page
  • newsatmy

BTC mampu yakinkan pelabur asing ke Malaysia - Azmin Ali

23 Mac 2021

SEPANG: Business Travelers Centre (BTC) yang ditubuhkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mampu memberikan keyakinan kepada pelabur asing datang ke Malaysia, sekali gus mencerdas dan memulihkan ekonomi negara.


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata penubuhan BTC penting bagi menjamin keselamatan pelabur asing apabila mereka berada di negara ini untuk mengadakan perbincangan dan membuat keputusan pelaburan mereka.


Mohamed Azmin berkata setakat 22 Mac 2021, sebanyak 93 permohonan Penggembara Perniagaan Jangka Pendek (Short Term Business Travellers) diluluskan dengan nilai pelaburan berjumlah RM15 bilion.


“Kami ingin menjamin keselamatan mereka apabila berada di Malaysia.


“Ia penting kerana pelabur tersebut akan datang untuk membuat satu keputusan besar berhubung pelaburan mereka.


“Oleh itu, kami ingin memberikan jaminan kepada mereka bahawa pelaburan dan industri mereka adalah selamat dan diberikan perlindungan, bukan sahaja dari segi insentif, tetapi juga keselamatan nyawa pekerja mereka supaya tidak berlaku gangguan dalam usaha menangani COVID-19,” kata Mohamed Azmin dalam sidang media selepas melancarkan penubuhan BTC di KLIA pada Selasa.


Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Abdul Majid Ahmad Khan dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud.


Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata MITI akan memberikan cadangan kepada beberapa kementerian lain untuk mengunakan BTC memandangkan kemudahan yang tersedia adalah cukup canggih dan mesra pengguna.


“Saya akan mencadangkan melalui perbincangan dengan Wisma Putra, MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) untuk menggunakan perkhidmatan ini bagi menarik lebih ramai pemimpin dan pelabur ke negara kita.


“Wisma Putra menerima kunjungan daripada ramai pemimpin dari seluruh dunia. Kami mungkin boleh membenarkan mereka untuk menggunakan kemudahan tersebut bagi menjamin keselamatan mereka.


“Bagi KBS pula, ramai pemain sukan antarabangsa dan kami memerlukan mereka untuk datang ke sini. Ia merupakan satu penjenamaan yang baik dan begitu juga dengan MOTAC, terdapat pelancong yang mempunyai pengaruh penting,” katanya.


BTC yang ditubuhkan MIDA merupakan salah satu komponen utama inisiatif Pusat Sehenti (OSC) yang diwujudkan kerajaan bagi memudahkan pergerakan pengembara perniagaan dengan mempercepatkan kemasukan mereka untuk menjalankan perniagaan di Malaysia.


Pusat yang terletak di Pintu C36, Terminal Satelit KLIA itu kini dibuka untuk pengembara perniagaan jangka pendek yang ingin berada di Malaysia untuk tempoh kurang daripada 14 hari bagi menjalani urusan perniagaan mereka.


Pengembara perniagaan yang tiba di KLIA akan menjalani ujian calitan RT-PCR di makmal COVID-19 di BTC dan keputusan ujian tersebut akan diketahui dalam jangka masa tiga jam.


Sekiranya disahkan negatif jangkitan COVID-19, mereka boleh meneruskan perjalanan ke laluan hijau imigresen dan kerajaan akan menyediakan pengawai penghubung yang akan memberikan bantuan kepada mereka dengan jadual perjalanan yang telah ditetapkan. - AA


bottom of page