• zaman

Bursa Malaysia catat aliran masuk asing sebanyak RM152.9 juta minggu lalu


KUALA LUMPUR 1 Ogos: Dana asing terus mengalir ke Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut dengan pembelian bersih ekuiti berjumlah RM152.9 juta pada minggu lalu.

Dalam laporan aliran dana mingguan MIDF Research, ia menunjukkan pelabur asing hanya menjual ekuiti pada Selasa sebanyak RM14 juta sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC).


Namun, katanya, ia menyaksikan 4 hari pembelian ekuiti oleh pelabur pada minggu berakhir 29 Julai itu. "Aliran masuk dana asing paling tinggi direkodkan pada Khamis sebanyak RM50.5 juta, pada ketika dan selepas mesyuarat FOMC.

"Pada minggu lalu, ia bermula dengan dengan aliran masuk bersih sebanyak RM25.1 juta pada hari Isnin oleh pelabur asing dan berakhir pada Jumaat dengan aliran masuk bersih RM18.9 juta," katanya dalam laporan itu hari ini.


Tiga sektor mencatatkan aliran keluar asing paling banyak iaitu perkhidmatan kewangan, utiliti dan produk dan perkhidmatan pengguna dengan masing-masing sebanyak RM222.8 juta, RM49.8 juta dan RM25.1 juta.

"Sektor yang mencatat aliran keluar pula ialah produk perindusrian dan perkhidmatan sebanyak RM86 juta, teknologi (RM59.2 juta) dan perladangan (RM12.5 juta)," katanya.

Sementara itu, pelabur institusi tempatan mengekalkan jualan bersih bagi minggu ketiga berjumlah RM70.7 juta.


Pelabur institusi tempatan menjual bersih ekuiti pada Khamis, Rabu dan Isnin dengan masing-masing sebanyak RM62.8 juta, RM36.9 juta dan RM11.5 juta.

"Bagaimanapun, jualan ini diperlahankan dengan pembelian bersih ekuiti pada Selasa sebanyak RM15.2 juta diikuti Jumaat, RM25.4 juta," tambahnya.


Menurut MIDF Research, pelabur runcit pula masih kekal menjual ekuiti pada minggu lalu berjumlah RM82.3 juta, dengan aliran paling tinggi direkodkan pada Jumaat sebanyak RM44.3 juta.

"Pelabur runcit telah menjual bersih ekuiti selama lapan hari dagangan secara berturut-turut," katanya.


Setakat ini, dana antarabangsa telah membeli bersih ekuiti selama 19 daripada 30 minggu dengan aliran masuk berjumlah RM6.27 bilion manakala pelabur runcit pula mencatat pembelian sebanyak RM1.7 bilion


Sebaliknya, pelabur insitusi tempatan sebaliknya menjual ekuiti selama 23 daripada 30 minggu dengan aliran keluar bersih sebanyak RM7.96 bilion.

"Perlu diingatkan bahawa pada penghujung Julai menyaksikan dana asing mencatat aliran masuk bersih yang merupakan pembalikan daripada aliran keluar bersih yang dilihat pada Jun. Aliran masuk bersih bagi Julai ialah RM182.2 juta," jelasnya.


Dari segi penyertaan pelabur, terdapat peningkatan nilai purata dagangan harian (ADTV) bagi pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing sebanyak 10.98% dan 17.17%. ADTV pelabur asing pula susut 8.81%.


Astro Awani