top of page
  • admin

Bursa Malaysia dibuka bercampur


KUALA LUMPUR 2 Mac: Bursa Malaysia diniagakan bercampur-campur pada pagi urus niaga Khamis, selari dengan prestasi semalaman di Wall Street.


Pada 9.09 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.98 mata kepada 1,449.22 daripada penutupan hari Rabu pada 1,450.20.

Indeks utama dibuka 1.14 mata lebih tinggi pada 1,451.34. Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan positif menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 167 berbanding 134, manakala 211 kaunter tidak berubah, 1,701 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.


Jumlah dagangan berjumlah 147.16 juta unit bernilai RM65.58 juta.


Prestasi semalaman Wall Street dipengaruhi oleh data pembuatan utama AS yang bercampur-campur.


Kaji selidik Institut Pengurusan Bekalan (ISM) pada hari Rabu menunjukkan aktiviti ekonomi dalam sektor pembuatan AS terus menguncup pada bulan Februari, tetapi pada kadar yang lebih perlahan berbanding Januari.


Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menyatakan bahawa di Hong Kong, Indeks Hang Seng telah kembali pulih daripada kemerosotannya didorong oleh data ekonomi yang kukuh dari China, sekali gus mencadangkan pemulihan ekonomi yang mantap.

"Bagi bursa tempatan, FBM KLCI turun sedikit tetapi masih melepasi paras 1,450 walaupun serantau bertambah baik," katanya merujuk kepada prestasi bursa tempatan semalam.

"Walaupun kami menjangkakan kemunculan aktiviti memburu saham murah dalam masa terdekat, sentimen keseluruhan kekal ''rapuh'' berikutan kegiatan penjualan dua minggu lepas."


Thong menambah pelabur juga sedang menantikan mesyuarat jawatankuasa dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) minggu depan untuk melihat sama ada kadar dasar semalaman (OPR) akan disemak lebih tinggi.

"Buat masa ini, kami berpendapat BNM mungkin mengelak daripada menaikkan OPR sebelum mesyuarat Fed pada 21 dan 22 Mac," tambahnya.


Kaunter wajaran tinggi IHH susut 7.0 sen kepada RM5.64, Petronas Chemicals turun 5.0 sen menjadi RM7.15 manakala Press Metal dan Tenaga Nasional masih-masing merosot 4.0 sen kepada RM5.11 dan RM9.24.


MISC pula menambah 13 sen kepada RM7.56, PPB menokok 26 sen kepada RM17.76 dan Maybank meraih 1.0 sen kepada RM8.79.


Bagi saham aktif, Jade Marvel memperoleh 1.0 sen kepada 31 sen, IRIS naik setengah sen kepada 11.5 sen dan KNM tidak berubah pada 5.5 sen.


Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 2.81 mata kepada 10,554.52, Indeks FBMT 100 susut 2.52 mata kepada 10,244.06 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 3.04 mata kepada 10,752.95.


Indeks FBM 70 meningkat sebanyak 15.80 mata kepada 13,433.97 manakala Indeks ACE FBM menambah 11.64 mata kepada 5,408.07.


Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 0.47 mata kepada 16,183.59, Indeks Perladangan menambah 5.83 mata menjadi 6,768.25 dan Indeks Tenaga menokok 1.28 mata kepada 849.60.


Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut sebanyak 0.46 mata kepada 176.36.

-- BERNAMA

Comments


bottom of page