top of page
  • admin

Bursa Malaysia dibuka rendah


KUALA LUMPUR, 13 Mac- Bursa Malaysia meneruskan aliran menurun untuk dibuka lebih rendah secara meluas pada pagi urus niaga Isnin dengan peserta pasaran dilihat memantau dengan teliti keadaan semasa serta sebarang potensi risiko penurunan kepada situasi kewangan berikutan krisis Silicon Valley Bank (SVB).


Pada 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 19.08 mata kepada 1,414.00 daripada 1,433.08 pada penutup Jumaat.


Indeks utama dibuka 13.66 mata lebih rendah kepada 1,419.42.


Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 487 berbalas 53, manakala 181 kaunter tidak berubah, 1,514 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.


Jumlah dagangan adalah sebanyak 537.88 juta unit bernilai RM182.50 juta.


Ketua Ekonomi, Analisis pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata krisis SVB bermula apabila bank yang berpangkalan di AS itu mengumumkan rancangannya untuk menyokong imbangan kira-kiranya dengan menerbitkan saham biasa dan saham pilihan berjumlah US$2.25 bilion, serta menjual portfolio "tersedia untuk dijual" bernilai sehingga US$21 bilion. (US$1=RM4.51)


"Ini telah menyebabkan kejatuhan harga saham mereka daripada US$267.83 pada 8 Mac kepada US$106.04 pada 9 Mac. Setakat ini, kerajaan AS telah bertindak pantas dalam memberikan sokongan kepada Perbendaharaan AS,” katanya.


Di pasaran tempatan, Maybank turun dua sen kepada RM8.38, CIMB susut satu sen kepada RM5.29, Public Bank lemah tiga sen kepada RM3.99 dan Hong Leong Bank menguncup 20 sen kepada RM20.20, manakala CelcomDigi naik tiga sen kepada RM4.16.


Bagi saham aktif, Hong Seng Consolidated turun setengah sen kepada 14.5 sen, BSL susut 6.5 sen kepada tujuh sen, Iris dan Minda Global lemah satu sen setiap satu kepada 10.5 sen dan 11.5 sen dan Sapura Energy naik satu sen kepada 5.5 sen.


Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 134.46 mata kepada 10,315.55, Indeks FBM 70 turun 138.61 mata kepada 13,154.28 manakala Indeks FBMT 100 lemah 128.04 mata menjadi 10,003.45.


Indeks FBM Emas Syariah pula menyusut 79.74 mata kepada 10,593.23, dan Indeks FBM ACE turun 83.43 mata kepada 5,244.36.


Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 336.59 mata kepada 15,628.39, Indeks Tenaga turun 12.57 mata kepada 844.68, Indeks Perladangan lemah 30.86 mata kepada 6,731.91 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.87 mata kepada 171.06.- BERNAMA

Comments


bottom of page