top of page
  • admin

Bursa Malaysia dibuka rendah


KUALA LUMPUR, 14 Mac- Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi urus niaga Selasa, mengambil petunjuk daripada ketidaktentuan pergerakan Wall Street apabila sektor perbankan Amerika Syarikat (AS) berada di bawah penelitian berikutan krisis Silicon Valley Bank dan Signature Bank, kata seorang penganalisis. Pada pukul 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 8.50 mata kepada 1,413.33 daripada 1,421.83 penutup Isnin. Indeks utama dibuka 4.87 mata rendah pagi ini pada 1,416.96. Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mendahului untung 183 berbalas 121, manakala 233 kaunter tidak berubah, 1,710 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung. Jumlah dagangan adalah sebanyak 193.64 juta unit bernilai RM102.60 juta. Walaupun sektor perbankan AS mengalami penangguhan sementara, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen masih kekal berhati-hati. Purata Perindustrian Dow Jones kerugian 90 mata manakala Nasdaq memperoleh hampir 50 mata, katanya. "Di peringkat domestik, kami menjangkakan aktiviti memburu saham murah akan muncul hari ini dengan minat tertumpu pada kaunter perbankan dan telekomunikasi. "Oleh itu, indeks diunjur berada dalam aliran julat 1,420-1,435 hari ini," katanya kepada Bernama. Sementara itu, Thong berkata harga emas melonjak kepada AS$1,911 setiap auns kerana pelabur terus melihat kepada kelas aset yang lebih selamat. Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia - Maybank susut tiga sen kepada RM8.41, Public Bank lemah empat sen menjadi RM3.97, CIMB turun lapan sen kepada RM5.25, Petronas Chemicals menguncup enam sen kepada RM7.04 tetapi TNB menambah dua sen kepada RM9.34.


Bagi saham aktif, Awanbiru Technology dan Ta Win Holdings naik setengah sen setiap satu kepada 47.5 sen dan 5.5 sen, dan E.A. Technique (M) turun 5.5 sen kepada 23.5 sen manakala Vinvest Capital dan Icon Offshore tidak berubah, masing-masing pada 22.5 sen dan 9.5 sen. Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 46.22 mata kepada 10,329.20, Indeks FBM 70 turun 8.16 mata kepada 13,236.22, Indeks FBMT 100 kerugian 47.48 mata kepada 10,014.43 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih rendah 27.03 mata kepada 10,622.92. Bagaimanapun, Indeks ACE FBM meningkat 3.07 mata kepada 5,302.13. Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 142.68 mata kepada 15,577.71, Indeks Tenaga susut 2.83 mata menjadi 850.00, Indeks Perladangan menguncup 38.22 mata kepada 6,754.11 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 0.25 mata kepada 172.32. -BERNAMA

bottom of page