• newsatmy

Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan sentimen lemah

23 Ogos

BURSA Malaysia mengalami penurunan bagi hari keempat berturut-turut untuk dibuka rendah pada Selasa berikutan sentimen kembali berhati-hati.

Walau bagaimanapun, peniaga menjangkakan pembelian semasa harga murah akan dialami bursa, khususnya terhadap saham berkaitan perbankan dan teknologi.


Pada 9.12 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras susut 5.38 mata kepada 1,481.99 daripada 1,487.37 ketika dipenutup pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka 2.45 mata lebih rendah pada 1,484.92.


Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 277 berbanding 103 manakala 217 kaunter tidak berubah, 1,721 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.


Jumlah dagangan sebanyak 179.06 juta unit bernilai RM88.93 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, sokongan belian dijangka dialami lewat hari ini dan indeks utama berkemungkinan mencatatkan aliran berjulat 1,480 hingga 1,500.


"Secara amnya, FBM KLCI ditutup lebih rendah dalam keadaan prestasi serantau yang lemah akibat dipengaruhi oleh niaga hadapan rendah di Wall Street semalam.


"Pasaran kewangan Amerika Syarikat itu susut selepas kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah lebih agresif yang mungkin dilaksanakan Rizab Persekutuan AS muncul semula,” katanya kepada Bernama.


Beliau berkata, indeks Purata Perindustrian Dow Jones merosot 643 mata manakala Nasdaq turun sebanyak 324 mata apabila hasil berjangka 10 tahun AS meningkat kepada 3.02 peratus.


Sementara itu, minyak sawit mentah naik kepada paras melebihi RM4,200 satu tan disokong oleh permintaan yang bertambah baik.


Di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Bursa Maybank dan Public Bank masing-masing tidak berubah pada RM8.87 dan RM4.59, manakala Petronas Chemicals susut empat sen kepada RM8.66, dan IHH Healthcare turun dua sen kepada RM6.33.


Antara saham aktif, Sapura Energy menambah satu sen pada lima sen, Cnergenz menokok 2.5 sen kepada 91 sen, Dagang Nexchange kurang setengah sen pada 84 sen dan AHB Holdings tidak berubah pada 14.5 sen.


Pada papan indeks, Indeks FBM Emas kurang 43.56 mata kepada 10,512.79; Indeks FBMT 100 susut 41.49 mata kepada 10,261.91; Indeks FBM Emas Syariah turun 60.60 mata kepada 10,607.07; FBM 70 merosot 67.87 mata kepada 12,565.97 dan FBM ACE kurang 12.14 mata kepada 4,842.86.


Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 26.86 mata kepada 16,588.27; Indeks Perladangan turun 53.90 mata kepada 7,117.73; Indeks Tenaga kurang 1.78 mata kepada 663.62 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.25 mata kepada 180.42. - Bernama