top of page
  • admin

Bursa Malaysia dibuka tinggi


KUALA LUMPUR 3 Mac: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi urus niaga Isnin, mengambil petunjuk daripada kenaikan semalaman Wall Street yang berterusan di tengah-tengah sentimen pasaran yang bertambah baik.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.49 mata kepada 1,429.08 daripada 1,422.59 penutup urus niaga Jumaat.


Indeks utama mengukuh 4.18 mata pada sesi pembukaan untuk mencapai paras 1,426.77. Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 295 berbalas 90, manakala 219 kaunter tidak berubah, 1,622 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 235.62 juta unit bernilai RM93.95 juta.


Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, bursa tempatan dijangka pulih dengan mengunjurkan prospek yang lebih cerah selepas Malaysia memperoleh komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion daripada China.

"Dengan China bersetuju untuk meneroka bidang kerjasama baharu bersama Malaysia, sektor yang akan mendapat manfaat daripada pelaburan itu adalah seperti pembinaan, bahan binaan, teknologi hijau dan automotif," katanya.


Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals naik 15 sen kepada RM7.22, MR DIY menambah enam sen kepada RM1.61, MISC meningkat 10 sen kepada RM7.32, Press Metal menokok lima sen kepada RM4.92 dan Hong Leong Bank peroleh 18 sen kepada RM20.40.


Bagi saham aktif, MMAG dan Velesto Energy masing-masing kekal pada dua sen dan 21 sen, Hibiscus Petroleum meningkat tujuh sen kepada RM1.06 dan Perdana Petroleum menokok satu sen kepada 19.5 sen.


Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 47.36 mata kepada 10,466.99, Indeks FBMT 100 naik 46.53 mata kepada 10,160.56 dan Indeks FBM Emas Syariah meraih 50.58 mata kepada 10,767.01.


Indeks FBM 70 mengukuh 63.73 mata kepada 13,576.11 dan Indeks FBM ACE meningkat 23.64 mata kepada 5,250.44.


Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 74.03 mata kepada 15,782.73, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.55 mata kepada 172.63, Indeks Perladangan mengukuh 31.36 mata kepada 6,772.64 dan Indeks Tenaga meningkat 21.74 mata kepada 858.55.

-- BERNAMA

bottom of page