top of page
  • newsatmy

Bursa Malaysia dijangka alami dagangan secara berhati-hati minggu depan


KUALA LUMPUR,3 Sept: Bursa Malaysia dijangka mengalami dagangan secara berhati-hati minggu depan disebabkan turun naik pasaran yang ketara, di tengah-tengah ketidaktentuan yang menyelubungi pasaran global, kata peniaga.


Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata sentimen pelabur akan masih bimbang mengenai ketegangan geopolitik yang berterusan di Taiwan dan Ukraine, sekatan pergerakan di China susulan dasar sifar COVID, gangguan dalam rantaian bekalan global serta jangkaan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat.


"Bagaimanapun, kami yakin pembelian semasa harga murah akan berlaku ekoran penilaian murah walaupun pasaran serantau mengalami turun naik yang ketara manakala bursa tempatan akan disokong dengan baik oleh aliran masuk bersih dana pelabur asing. "Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam aliran berjulat 1,490 hingga 1,510 bagi minggu depan dengan rintangan serta-merta pada 1,530 dengan sokongan pada 1,470," katanya kepada Bernama.


Beliau berkata Bank Negara Malaysia dijangka menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari minggu depan, justeru beberapa minat belian mungkin muncul dalam saham perbankan.


Sementara itu, penurunan harga minyak mentah dan minyak sawit mentah (MSM) baru-baru ini mungkin mendorong tekanan jualan ke atas saham tenaga dan perladangan, katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 9.11 mata kepada 1,491.18 daripada 1,500.29 pada akhir minggu lepas.


Bagi papan indeks, Indeks FBM Emas susut 93.31 mata kepada 10,555.53; Indeks FBMT 100 turun 83.59 mata kepada 10,309.77; Indeks FBM Emas Syariah merosot 160.34 mata kepada 10,599.63; FBM 70 menguncup 185.0 mata kepada 12,561.15 dan FBM ACE kurang 149.69 mata kepada 4,806.68.


Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 30.37 mata kepada 697.07; Indeks Perladangan turun 96.5 mata kepada 6,957.84; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 1.96 mata kepada 180.22 namun Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 0.32 mata kepada 16,764.01.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 9.43 bilion bernilai RM7.9 bilion daripada 12.14 bilion unit bernilai RM8.8 bilion pada minggu lepas.


Jumlah dagangan Pasaran Utama sebanyak 5.58 bilion saham bernilai RM6.65 bilion berbanding 7.98 bilion saham bernilai RM7.28 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran turun kepada 1.21 bilion unit bernilai RM196.70 juta daripada 1.91 bilion unit bernilai RM294.73 juta.


Jumlah dagangan Pasaran ACE pula meningkat kepada 2.64 bilion saham bernilai RM1.05 bilion daripada 2.24 bilion saham bernilai RM1.22 bilion minggu lepas.

-- BERNAMA

bottom of page