top of page
  • newsatmy

COVID-19: Song Joong-ki jalani kuarantin selepas menjadi kontak rapat

7 Julai 2021

Pelakon popular Korea, Song Joong-ki dilaporkan sedang menjalani kuarantin kendiri selepas menjadi kontak rapat kepada seorang individu yang disahkan positif COVID-19.


Agensi yang mewakili pelakon tersebut berkata, individu berkenaan didapati positif pada 30 Jun lepas, lapor portal hiburan tempatan Soompi.com pada Ahad.


Tambah kenyataan itu lagi, ujian saringan yang dilakukan Song menunjukkan keputusan negatif namun oleh kerana dia merupakan kontak rapat, dia perlu menjalani proses kuarantin kendiri di rumah.


"Ujian saringan yang dilakukan ke atas semua kontak rapat kepada individu berkenaan turut menunjukkan keputusan negatif.


"Oleh kerana Song Joong-ki didapati kontak rapat kepada kes positif, dia perlu menjalani kuarantin kendiri dan jadualnya akan disusun semula," jelas kenyataan itu.


Song yang menjadi pelakon utama K-drama Vincenzo itu, dilaporkan sedang menjalani penggambaran dalam filem Bogota selepas ia terpaksa ditangguh tahun lepas akibat penularan virus COVID-19.


Filem itu dirakam di Colombia pada Januari 2020 sebelum kesemua pelakon dan kru terpaksa kembali ke Korea Selatan pada bulan Mac tahun itu.


Ketika ini hanya 40 peratus filem itu berjaya dirakam dan selebihnya akan dilakukan di Korea Selatan.


Bogota mengisahkan seorang remaja berusia 19 tahun bernama Guk Hee (Song) yang berhijrah ke ibu kota Colombia itu demi mencuba nasib dalam dunia perniagaan.


Antara barisan pelakon yang terlibat termasuk Lee Hee-joon dan Kwon Hae-hyo.


- Astro Awani

bottom of page