• newsatmy

Daripada anggota bomba kepada usahawan francais burger

4 April 2021

ISKANDAR PUTERI: Selepas sembilan tahun berkhidmat di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, anggota bomba Muhammad Dinie Mohamed akhirnya membuat keputusan untuk menjadi usahawan sepenuh masa selepas berjaya menguruskan perniagaan francais burger yang semakin berkembang.


Memandangkan beliau menguruskan lebih 60 gerai burger melalui sistem francais pada waktu itu, sukar baginya untuk menguruskan perniagaan berkenaan ketika masih berkhidmat sebagai pegawai bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri.


Oleh itu, Muhammad Dinie, 31, mengambil langkah berani untuk meninggalkan profesionnya pada Februari demi mengembangkan perniagaan.


"Saya menghantar surat peletakan jawatan sebanyak dua kali kepada pengarah negeri Datuk Yahaya Madis, namun beliau menolaknya. Apabila saya menghantarnya kali ketiga, beliau memanggil saya di pejabatnya dan bertanya sama ada saya yakin dengan keputusan yang dibuat.


"Apabila saya memberitahu bahawa saya telah membuat keputusan, hanya selepas itu beliau meluluskan peletakan jawatan saya. Beliau menasihatkan saya untuk memberi komitmen sepenuhnya kepada perniagaan agar dapat bertahan dan berkembang sebagai jenama isi rumah.


"Beliau memberitahu bahawa beliau bangga dengan saya kerana mencuba sesuatu yang berbeza - membina kerjaya dalam perniagaan," katanya semasa ditemui di ibu pejabat syarikatnya di Iskandar Puteri baru-baru ini.


Mengimbas kembali detik awal menceburi perniagaan francais burger, bapa kepada tiga anak itu berkata beliau membuka gerai burger di Taman Universiti, di sini pada 2014 berbekalkan modal kira-kira RM3,000 hingga RM4,000 daripada simpanannya sendiri.


"Idea saya pada waktu itu ialah untuk menjana pendapatan tambahan keluarga, namun selepas sekian lama beroperasi, saya sedar bahawa perniagaan itu mempunyai potensi besar sekiranya saya mempunyai rancangan perniagaan yang betul.


"Maka, pada 2018, isteri menyarankan agar membina jenama kami sendiri. Itulah detiknya Official Street Burger (OSB) ditubuhkan secara rasmi sebelum kami mula mengubahnya kepada perniagaan francais yang berjaya, melibatkan 18 gerai pada tahun itu.


"Sehingga kini, jumlah gerai telah meningkat kepada 103 di seluruh Johor dan Melaka," tambahnya.


Menurutnya, titik perubahan untuk menceburi perniagaan itu adalah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan pada Mac 2020 untuk membendung pandemik COVID-19.


Dalam tempoh yang tidak pernah berlaku sebelum ini, beliau berkata jumlah usahawan baharu yang menyertai perniagaan francais OSB telah melonjak kepada lebih 60 berbanding 18 pada 2018.


"Kira-kira 40 peratus daripada mereka berusia lewat 20-an sehingga awal 40-an yang kehilangan pekerjaan di Singapura akibat pandemik itu.


"Oleh itu, kami gembira kerana perniagaan kami sebenarnya membantu orang lain yang berdepan tempoh sukar," kata Muhammad Dinie dan menurutnya ketika ini beliau menggajikan kira-kira 30 kakitangan untuk membantu menguruskan perniagaan.


Sementara itu, isterinya Nur Khalijah Zaidan turut meninggalkan kerjaya dalam bidang perbankan pada akhir 2019 - lebih awal berbanding Muhammad Dinie untuk membantu menguruskan perniagaan.


Beliau berkata, mereka menyasarkan untuk meneroka pasaran Lembah Klang dan negeri lain dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan syarikat untuk menjadi satu daripada jenama burger utama di negara ini.


"Bagi mencapai sasaran ini, kami menyasarkan untuk melahirkan 1,000 usahawan burger dengan menawarkan dua pakej menarik berserta panduan untuk membuka gerai kepada peserta yang berminat," kata wanita berusia 30 tahun itu.


Nur Khalijah berkata mereka kini dalam usaha mempelbagaikan produk di bawah jenama OSB iaitu makanan bergoreng seperti karipap, samosa dan pisang goreng melalui konsep francais yang sama.


"Insya-Allah, kami juga mahu menghasilkan daging burger, roti dan sos kami sendiri untuk disalurkan kepada outlet francais kami. Buat masa ini, kami bergantung kepada pihak ketiga," katanya sambil memaklumkan buat masa ini outlet OSB menggunakan sekurang-kurangnya 72,000 daging burger pada setiap minggu.


-- BERNAMA

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.