• newsatmy

Datasonic perolehi bekal cip pasport untuk KDN RM31.39 juta


KUALA LUMPUR,16 Ogos: Anak syarikat milik penuh Datasonic Group Bhd, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB), mendapat kontrak tambahan bernilai RM31.39 juta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk pembekalan cip pasport Malaysia berikutan pindaan dibuat dalam surat lanjutan daripada kementerian itu.


Menurut Datasonic dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, DTSB telah menerima surat bertarikh 9 Ogos 2022 daripada KDN berkaitan pindaan kepada kontrak untuk pembekalan cip pasport Malaysia atau 12.5 juta cip pasport bermula dari 1 Dis 2021 hingga 30 Nov 2023.


Penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi berasaskan keselamatan itu berkata kontrak asal bernilai RM318.75 juta dan pindaan tersebut akan menjadikan jumlah nilai siling kontrak itu kepada RM350.14 juta.

Datasonic berkata pindaan itu melibatkan perubahan dalam kuantiti perkhidmatan penyelenggaraan peralatan, perisian dan aplikasi sistem untuk infrastruktur utama awam dan pembangunan utama awam untuk 2022 dan 2023

.

Ia akan turut mengubah kuantiti perkhidmatan penyelenggaraan peralatan, perisian dan aplikasi sistem cip untuk tempatan dan luar negara untuk 2022 dan 2023 serta perkhidmatan penyelenggaraan peralatan, perisian dan aplikasi sistem E-Gate untuk Malaysia dan kios prabaca untuk 2022 dan 2023.


"Di bawah terma surat itu, DTSB dikehendaki menerbitkan bon prestasi berjumlah kira-kira RM3.19 juta kepada KDN dengan tempoh sah dilanjutkan sehingga 30 Nov 2024," katanya.

Datasonic berkata perubahan dalam nilai siling kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 dan tahun kewangan selepas itu untuk tempoh kontrak tersebut.

Katanya ia tidak akan memberi sebarang impak kepada modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang besar dalam kumpulan itu.

-- BERNAMA