top of page
  • admin

Ekonomi global semakin hampir kepada kemelesetan - Ketua Bank Dunia


WASHINGTON,14 OKT: Ekonomi global "semakin menjerumus" kepada kemelesetan apabila kadar inflasi kekal tinggi, kadar faedah meningkat dan beban hutang bagi negara-negara membangun semakin meningkat, kata Presiden Bank Dunia David Malpass pada Khamis.


-"Kami telah menurunkan unjuran pertumbuhan 2023 daripada tiga peratus kepada 1.9 peratus bagi pertumbuhan global, yang dilihat semakin hampir dengan kemelesetan dunia," kata Malpass pada sidang media semasa mesyuarat tahunan IMF dan Bank Dunia.


"Masalah inflasi, kadar faedah meningkat dan pemotongan aliran modal terhadap negara membangun menjejaskan golongan miskin dengan teruk," katanya sambil menekankan peningkatan hutang bagi negara membangun.

"Kemelesetan dunia boleh berlaku dalam keadaan tertentu," kata Malpass.

Dalam kajian yang diterbitkan pada pertengahan September, Bank Dunia memberi amaran bahawa apabila bank pusat di seluruh dunia secara serentak menaikkan kadar faedah sebagai tindak balas kepada inflasi, dunia mungkin menuju ke arah kemelesetan global pada 2023, dengan ramalan pertumbuhan hanya 0.5 peratus.


Ketua Bank Dunia berkata bahawa pertumbuhan penduduk dunia dianggarkan pada kadar 1.1 peratus setahun.


Memetik laporan Bank Dunia baru-baru ini, Malpass berkata bahawa pandemik COVID-19 memberi kesan terbesar kepada usaha mengurangkan kadar kemiskinan global sejak 1990, memaksa kira-kira 70 juta orang ke dalam kancah kemiskinan tegar pada 2020, manakala krisis di Ukraine dikhuatiri memburukkan lagi keadaan.


Menurut Laporan Kemiskinan dan Kemakmuran Bersama, pendapatan median global merosot sebanyak empat peratus pada 2020, penurunan pertama sejak pengukuran median pendapatannya bermula pada 1990.

-- BERNAMA

bottom of page