• Nizam

Ekonomi Malaysia berpeluang pulih dengan pantas

7 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Terdapat harapan untuk pemulihan ekonomi Malaysia melangkah ke 2022, yang didorong antara lain oleh kadar vaksinasi tinggi yang akan membolehkan pembukaan semula ekonomi lebih mampan.


Laporan Prospek Global Separuh Pertama 2022 OCBC menyatakan bahawa terdapat peluang yang baik untuk pemulihan ekonomi meningkat dengan cepat, daripada kemungkinan di bawah jangkaan 3.2 peratus pada 2021 kepada pertumbuhan 5.0 peratus yang lebih menggalakkan pada 2022.


"Walaupun kerajaan memberikan unjuran pertumbuhan 2022 sebanyak 5.5 ke 6.5 peratus, kami sebahagiannya lebih konservatif kerana melihat pemulihan yang lebih terkawal dalam penggunaan swasta apabila isi rumah cuba membina semula simpanan mereka yang susut dengan ketara semasa pandemik," katanya.

Secara keseluruhannya, katanya, walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak menepati sasaran pada suku ketiga 2021, pihak berkuasa akan memberi tumpuan kepada prospek yang bertambah baik.


Sentimen yakin adalah wajar berikutan penularan semula pandemik dilihat terkawal dengan lebih baik, manakala kadar vaksinasi di Malaysia meningkat dengan cepat apabila 76 peratus daripada jumlah penduduk menerima dua dos suntikan.


"Apa yang pasti, inisiatif pembukaan semula, laluan perjalanan dengan Singapura dan Indonesia menjadi contoh yang paling jelas, akan memberi rangsangan kepada ekonomi.


"Bagaimanapun, kami terus berhati-hati dengan hakikat bahawa skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menjadi sebahagian daripada pakej rangsangan menyebabkan pengurangan simpanan untuk isi rumah yang mungkin mengambil masa untuk membina semula, menyebabkan pertumbuhan penggunaan yang terhad pada tahun-tahun akan datang," katanya.


Dalam suasana prospek pemulihan ekonomi yang lebih baik, OCBC menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan melakukan penurunan kadar.

"Lagipun, ia mengekalkan kadar dasarnya tidak berubah sepanjang 2021, meskipun cabaran getir yang dihadapi akibat daripada pandemik dan krisis politik.

"Malahan, melihat daripada bayangan dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) November 2021, ia mungkin sudah mula merangka asas sebagai persediaan bagi jangkaan kadar bergerak ke arah bertentangan," katanya.


OCBC berkata, terdapat aspek daripada kenyataan MPC yang membayangkan BNM kini menjangkakan keperluan untuk membuat persediaan sebarang jangkaan pasaran akan kenaikan kadar dasar di Malaysia.

"Kami terus melihat bank pusat akan komited menyokong pertumbuhan selagi boleh dengan mengekalkan kadar dasar berada pada paras rendah semasa. Inflasi seharusnya juga kekal rendah memandangkan jurang pengeluaran yang berterusan.

"Sebagai contoh, kadar pengangguran kekal tinggi pada 4.6 peratus. Walaupun ia turun daripada kemuncak 5.3 peratus tahun lalu, kadar itu kekal di atas kadar sebelum pandemik pada 3.3 peratus, satu petanda yang menunjukkan bahawa impak pandemik ke atas pasaran masih lagi berterusan," katanya.


Justeru, OCBC berkata pada asasnya BNM boleh dan akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 1.75 peratus sepanjang 2022.



-BERNAMA