top of page
  • newsatmy

Ekonomi negara dijangka terus berkembang tahun ini - Mustapa

13 Februari 2022

JELI: Ekonomi negara dijangka terus berkembang pada tahun ini dan melepasi paras sebelum pandemik COVID-19 pada suku tahun 2022 dengan mengambil kira pelbagai petunjuk ekonomi utama yang menunjukkan momentum pemulihan lebih kukuh.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata prospek pertumbuhan bagi tahun 2022 dianggarkan berkembang antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus selari dengan unjuran pertumbuhan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) iaitu sebanyak 6.0 peratus dan Bank Dunia (5.8 peratus).


"Antara petunjuk ekonomi utama yang menunjukkan momentum pemulihan ialah Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang melepasi paras nilai ambang iaitu 50.5 pada bulan lepas dan Indeks Pelopor yang meningkat sebanyak 1.7 peratus pada November 2021.

"Selain itu, Indeks Keyakinan Perniagaan (BCI) mencatatkan 122 mata pada suku keempat 2021 menunjukkan prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Bukit Bunga Bypass di Bukit Bunga di sini semalam.


Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata pasaran buruh turut semakin pulih dengan kadar pengganguran berkurangan kepada 4.2 peratus pada Disember tahun lepas.


"Setakat ini, sebanyak RM75.6 bilion telah diperuntukkan untuk melaksanakan 6,755 projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu lebih tinggi daripada RM69 bilion yang diluluskan pada tahun lepas," katanya.



-- BERNAMA

bottom of page