top of page
  • zaman

Eksport Malaysia kekal pertumbuhan positif pada Januari 2023


KUALA LUMPUR, 20 Feb- Prestasi eksport Malaysia kekal berdaya tahan dengan mengekalkan pertumbuhan positif pada Januari 2023. Eksport bulan lalu meningkat 1.6 peratus kepada RM112.8 bilion berbanding tempoh sama tahun 2022. Selaras dengan pertumbuhan eksport, import mencatatkan peningkatan 2.3 peratus, tahun ke tahun. Manakala, jumlah dagangan meningkat 1.9 peratus kepada RM207.5 bilion daripada RM203.6 bilion pada Januari 2022. Bagaimanapun, lebihan dagangan berkurangan 2.1 peratus kepada RM18.2 bilion menjadikannya lebihan dagangan bagi tempoh 33 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.


Singapura, Jepun, Australia dan Mexico antara negara yang mencatatkan peningkatan eksport lebih tinggi. Manakala import disumbangkan peningkatan import dari Arab Saudi, Australia, Emiriah Arab Bersatu dan Indonesia. Antara produk utama eksport adalah keluaran petroleum, gas asli cecair, barangan elektrik serta elektronik dan petroleum mentah. Sementara itu, peningkatan import dicatatkan bagi petroleum mentah, keluaran petroleum dan kelengkapan pengangkutan.

bottom of page