top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Eksport perabot kayu cecah RM13 bilion hujung tahun ini

12 Oktober 2021

MUAR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yakin dapat mencapai RM13 bilion nilai eksport perabot kayu Malaysia pada penghujung tahun ini.


Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, nilai eksport perabot adalah sebanyak RM6.6 bilion, meningkat 5.2 peratus berbanding RM6.2 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.


“Potensi perabot di Malaysia begitu tinggi kerana Amerika Syarikat adalah negara utama pengeksport iaitu hampir 50 peratus.


“Walaupun kita ada saingan dengan Vietnam, Amerika Syarikat masih lihat Malaysia sebagai pembekal perabot yang berkualiti tinggi, kemas dan mengikut cita rasa mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pejabat Satelit Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) di Wisma Persatuan Perabot Muar (MFA), Muar, hari ini.


Zuraida berkata, Johor khususnya daerah Muar adalah penyumbang utama dalam industri kayu dan perabot negara.


“Industri perkayuan Muar khususnya sektor perabot mempunyai potensi untuk dibangunkan dengan lebih pesat dengan adanya kemudahan dan infrastruktur yang mampan.


“Kementerian akan terus memperkasakan peranan sektor perkayuan dan perabot sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara,” katanya.


Beliau berkata, walaupun negara berdepan dengan pandemik COVID-19, industri perabot masih stabil dan memperoleh RM12.8 bilion nilai eksport pada tahun 2020.


“Kita juga menghadapi masalah logistik ketika perintah kawalan pergerakan (PKP). Justeru, berbekalkan tiga bulan sebelum 2021 tamat adalah masa untuk kita mengambil kesempatan mengeksport barang sedia ada secepat mungkin.


“Kementerian juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi menyelesaikan isu pekerja asing yang menjadi kegusaran syarikat perabot.


“Pengambilan pekerja asing bukan di bawah bidang kuasa kementerian. Namun, kita akan minta laluan atau pengecualian untuk kementerian menguruskan pengambilan pekerja dalam bidang komoditi khususnya industri kayu kayan atau perabot,” katanya.

bottom of page