Gagasan Nadi peroleh hak bangunkan projek perumahan mampu milik RM1 bilion
25 OKTOBER 2021
KUALA LUMPUR: Gagasan Nadi Cergas Bhd (Gagasan Nadi) bekerjasama dengan unit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membangunkan projek perumahan mampu milik di Petaling, Selangor, dengan nilai pembangunan kasar yang dianggarkan sebanyak RM1 bilion.
Penyedia perkhidmatan pembinaan itu berkata ia telah menerima surat penganugerahan daripada Kwasa Development (13) Sdn Bhd (KD13) untuk menjadi rakan kongsi pembangunan bagi projek tersebut di atas dua bidang tanah seluas 15.83 hektar.
KD13 adalah anak syarikat milik penuh Kwasa Land Sdn Bhd, yang seterusnya menjadi milik penuh KWSP.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, Gagasan Nadi berkata cadangan pembangunan, dengan anggaran nilai pembinaan RM750 juta, akan terdiri daripada sekitar 3,990 unit kediaman mampu milik.
Sebagai pertimbangan hak pembangunan, Gagasan Nadi akan membayar kepada KD13 sebanyak RM40 juta bagi melaksanakan projek itu di perbandaran Kwasa Damansara.
Ia berkata pembangunan yang dicadangkan, yang bersebelahan dengan stesen MRT Kwasa Damansara, akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan pada masa depan.
Perjanjian hak pembangunan akan dimeterai di antara Gagasan Nadi dan KD13 pada waktu yang sesuai, tambahnya.
-- BERNAMA
Comentários