• newsatmy

Grab lancar dana GrabForGood beri manfaat kepada rakan peniaga, penghantar

9 April 2021

KUALA LUMPUR: Grab Holdings hari ini melancarkan dana GrabForGood yang bertujuan untuk menyokong program yang akan memberi manfaat kepada pemandu, rakan penghantaran dan rakan niaga, serta komuniti Asia Tenggara keseluruhannya.


Inisiatif ini akan dimulakan dengan wang tunai AS$50 juta (RM206.87 juta) dan nilai saham Grab bernilai AS$200 juta (RM827.5 juta).


Sebagai tambahan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Grab dan pengasas bersama Anthony Tan, pengasas bersama Tan Hooi Ling dan Presiden, Ming Maa telah menjanjikan gabungan sumbangan AS$25 juta (RM103.4 juta) untuk saham Grab.


“Sejak penubuhan kami, Grab komited dalam misi kami mewujudkan pemerkasaan ekonomi komuniti di Asia Tenggara.


"Dana GrabForGood akan menjadi tonggak penting usaha kami dalam menambah baik perkhidmatan rakan kongsi Grab dan komuniti kami yang lebih luas, dan merupakan langkah seterusnya dalam komitmen jangka panjang kami ke Asia Tenggara, ” kata Anthony Tan.


Dana ini akan menyokong gabungan beberapa program yang bertujuan memberikan kesan sosial dan persekitaran jangka panjang, termasuk dalam bidang seperti pendidikan, sokongan kewangan dan isu-isu alam sekitar.


Lembaga Penasihat Dana akan dibentuk untuk memberi sokongan kuat kepada rakan kongsi Grab dan masyarakat Asia Tenggara dalam memberikan maklum balas dan cadangan mengenai bagaimana dana tersebut akan dibelanjakan.