top of page
  • newsatmy

Harga minyak tinggi buruk untuk Malaysia?

10 Mac 2021

PETALING JAYA - Kerajaan boleh mengutip lebihan RM8.4 bilion hasil fiskal berkaitan minyak berbanding jangkaan sedia ada dalam Belanjawan 2021 jika harga minyak kekal pada kadar AS$70 (RM283) setong.


Namun, ia tidak bermakna hasil akhirnya positif untuk fiskal negara memandangkan kerajaan perlu menanggung subsidi yang lebih tinggi untuk harga bahan api runcit.


CGS-CIMB dalam nota kajiannya berkata, lebihan pendapatan yang diperoleh kerajaan diramal berdasarkan jangkaan sensitiviti fiskal sebanyak RM3 bilion setiap AS$10 (RM40.43)/tong harga minyak.


Belanjawan 2021 meletakkan asas purata harga minyak pada AS$42 (RM169.80) setiap tong.


Institusi penyelidikan itu walau bagaimanapun menjangkakan peningkatan berterusan harga minyak dan kepatuhan kepada harga siling bahan api runcit adalah negatif untuk kedudukan fiskal Malaysia.


“Dengan harga semasa harga minyak mentah Brent pada AS$70 setiap tong dan kadar tukaran mata wang pada RM4.05 setiap dolar Amerika Syarikat (AS), kami menjangkakan harga pasaran untuk RON95 dan diesel masing-masing pada RM2.33 dan RM2.37 seliter, dengan jangkaan kadar subsidi sebanyak 22 hingga 28 sen setiap liter pada harga bahan api runcit semasa.


“Dengan anggapan penggunaan tahunan RON95 dan diesel bersubsidi pada 26.4 bilion liter pada 2021 (atau lima peratus lebih rendah daripada tahap 27.8 juta pada 2019 mengambil kira kawalan pergerakan), kos subsidi bahan api di luar belanjawan kepada kerajaan boleh mencecah RM7 bilion jika harga kekal pada tahap semasa sepanjang tahun, menurut kiraan kami,” katanya.


CGS-CIMB juga menjangkakan harga minyak yang tinggi akan menguntungkan beberapa syarikat yang mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak baik secara langsung mahupun tidak langsung.


“Syarikat bermodal besar yang mendapat manfaat daripada harga minyak mentah yang lebih tinggi di bawah liputan kami termasuk Petronas Chemical (harga petrokimia yang lebih tinggi) dan Petronas Dagangan (hasil inventori).


“Penerima manfaat tidak langsung lain ialah syarikat minyak dan gas (Sapura Energy, Bumi Armada, Velesto, Yinson dan Dialog) serta pemain industri minyak sawit (IOI, KLK, Hap Seng Plantations, Ta Ann dan Genting Plantations) disebabkan daya maju ekonomi yang lebih baik untuk biodiesel yang boleh memungkinkan pengurangan levi eksport oleh kerajaan Indonesia.


“Harga minyak yang tinggi juga berpotensi positif untuk syarikat penerbangan dalam jangka pendek memandangkan ia mengurangkan potensi kerugian derivatif bahan api,” katanya.


Walau bagaimanapun, menurut CGS-CIMB, kenaikan harga minyak boleh menjadi negatif kepada sektor perkapalan, pembuatan, automotif dan kepenggunaan kerana kos bahan api dan pengangkutan yang lebih tinggi. – UTUSAN



bottom of page