top of page
  • StrangePlay

Harga sawit dijangka tinggi sehingga awal 2020

18 Oktober-KUALA LUMPUR

Harga kontrak penanda aras minyak sawit mentah (MSM) yang melepasi paras rekod tertinggi RM5,000 satu tan minggu lalu dijangka kekal kukuh sekurang-kurangnya sehingga suku pertama tahun depan, disokong kekurangan pengeluaran dan permintaan luaran yang tinggi, demikian menurut penganalisis. Kontrak penanda aras, Disember 2021 buat pertama kali melepasi paras RM5,000 satu tan pada 13 Oktober lalu untuk ditutup pada paras RM5,021 satu tan apabila stok simpanannya terhad selain langkah kerajaan India mengurangkan duti import komoditi itu. Peniaga sawit, David Ng, berkata faktor yang akan menyokong harga komoditi itu ialah pengeluaran yang lemah daripada jangkaan, yang akan merendahkan paras stok simpanan sawit di negara ini. Beliau berkata, faktor luaran seperti permintaan tinggi dari India dan China di tengah-tengah duti import rendah di India, selain krisis tenaga yang berlaku di China juga akan menyokong harga MSM.

"Melihat kepada kontrak Januari, ia dijangka didagangkan antara RM5,050 satu tan dan RM4,800 bagi minggu ini," katanya kepada BH. Sementara itu, MIDF Research percaya situasi bekalan minyak sawit yang terhad dijangka kekal sehingga akhir tahun ini berikutan pemulihan hasil terhad susulan kekurangan pekerja di ladang, tinjauan permintaan yang baik berikutan aktiviti ekonomi yang lebih baik di peringkat domestik dan global serta keadaan cuaca berikutan fenomena La Nina. Di peringkat permintaan, firma penyelidik itu dalam nota penyelidikannya berkata, ia percaya import yang kukuh dari China dan India didorong peningkatan aktiviti dalam segmen hotel, restoran dan kafe (HORECA) di negara terbabit. "Kami jangka, harga MSM kekal tinggi pada suku keempat 2021 disokong bekalan inventori terhad dalam industri perladangan tempatan. Kami mengekalkan pendirian positif terhadap sektor perladangan dengan unjuran purata harga MSM 2021 RM3,600 satu tan," katanya. Maybank IB Research turut menjangkakan harga MSM akan terus kukuh sehingga suku pertama 2022 berikutan kebimbangan bekalan meskipun harga komoditi itu mungkin tidak kekal pada paras RM5,000 satu tan. Ia berkata, rali harga MSM baru-baru ini melepasi RM5,000 satu tan terus menyempitkan diskaun antara harga MSM dan minyak kacang soya. "Justeru, kami mengekalkan pandangan bahawa harga MSM semasa yang tinggi tidak mampan kerana diskaun (antara harga MSM dan minyak kacang soya) yang lebih besar diperlukan untuk mengekalkan permintaan. "Permintaan minyak sayuran India dijangka melemah pasca perayaan Deepavali," katanya.


bottom of page