• Hanna

IJM Corp jual 56.20 peratus kepentingan dalam IJM Plantations bernilai RM1.53 bilion

Updated: Jul 29

28 Julai 2021

IJM Corp Bhd menjual 494.86 juta saham biasa dalam IJM Plantations Bhd (IJMP), mewakili 56.20 peratus kepentingan ekuiti kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) berharga RM3.10 setiap satu atau berjumlah RM1.53 bilion.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, IJM berkata ia bercadang menggunakan RM800 juta daripada hasil aktiviti pengurusan modal, RM450 juta untuk peluang pelaburan masa depan dan perbelanjaan modal, RM19.6 juta untuk modal kerja umum dan RM4 juta bagi perbelanjaan anggaran.


"Pertimbangan jualan itu telah ditentukan berdasarkan kerelaan pembeli dan penjual mengikut harga yang ditawarkan KLK.


"Penjualan ini adalah seiring dengan objektif strategik kumpulan dalam memperkemaskan perniagaan untuk menumpukan kepada pembinaan, pembangunan hartanah, konsesi infrastruktur serta pembuatan bahan binaan dan pengkuarian," menurut IJM.


Konglomerat itu yakin penjualan berkenaan akan memperkukuh kedudukan kewangannya dan menawarkan fleksibiliti kewangan untuk merebut peluang perniagaan, dana modal kerja dan memberi ganjaran kepada pemegang saham menerusi aktiviti pengurusan modal.


"Ia juga akan membolehkan IJM untuk membuka nilai pelaburannya dalam IJMP dan memberi laluan kepada pemegang saham minoriti untuk menjana wang pelaburan mereka dalam IJMP," menurut kumpulan itu.


-- BERNAMA