• newsatmy

Institusi kewangan mula ambil langkah tangani perubahan iklim - CGS CIMB

14 Januari 2022

KUALA LUMPUR: Bank-bank di negara ini didapati mula menunjukkan kemajuan dalam menangani risiko perubahan iklim, demikian menurut CGS-CIMB Research.


Ini berdasarkan kepada pembentangan Bank Negara Malaysia (BNM) ketika penganjuran Hari Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang dianjurkan AMMB Holdings Bhd pada Rabu.


Penganalisisnya, Winson Ng berkata, dalam pembentangan itu, BNM berkongsi pandangan bahawa beberapa institusi kewangan telah mula menetapkan sasaran berkaitan perubahan iklim.

Antaranya, pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih menjelang 2050, tiada pembiayaan baharu untuk aktiviti arang batu, meningkatkan pembiayaan tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pelanggan pembiayaan dengan pelepasan sifar bersih GHG.


Pada masa akan datang, katanya, BNM akan memperkenalkan lebih banyak keperluan kawal selia untuk bank menguruskan risiko ini, termasuk pematuhan Taksonomi Berasaskan Prinsip Perubahan Iklim mulai Julai 2022 dan seterusnya, dan latihan ujian tekanan seluruh industri pada 2024.


"Secara dasarnya, kami positif terhadap perkara berkenaan kerana ia menunjukkan bank-bank mula merancang formula untuk menangani risiko daripada perubahan iklim terutamanya membabitkan operasi dan pelaburan/pembiayaan.


"Bagaimanapun, dalam usaha untuk meningkatkan lagi standard ESG mereka, bank perlu menyediakan pelabur kepada maklumat yang lebih khusus berkaitan perubahan iklim seperti peratusan pinjaman mereka yang akan terjejas secara negatif oleh perubahan iklim dan saiz potensi risiko daripada perubahan iklim.


"Maklumat sedemikian tidak tersedia kepada pelabur buat masa ini kerana semua bank berada di peringkat awal menganalisis dan mengukur risiko perubahan iklim mereka," katanya dalam nota kajian semalam.


Dalam pada itu, Ng menyifatkan penganjuran program tersebut buat kali pertama menggambarkan komitmen AMMB untuk menambahbaik pendedahan kepada ESG.


Ketika program berkenaan, AMMB turut berkongsi kemajuan yang dicapainya dalam pelaksanaan ESG, antaranya memperkenalkan senarai pengecualian untuk pembiayaan berdasarkan kriteria ESG dan sistem penggredan risiko alam sekitar dan sosial untuk permohonan baharu kredit bukan runcit.


Beliau yakin fokus ESG kumpulan akan tertumpu kepada usaha mewujudkan sistem untuk mengenalpasti dan menjejaki risiko perubahan iklim pada masa akan datang.


"Selain itu, AMMB juga akan terus menambahbaik pendedahan kepada ESG, yang akan meliputi peratusan pinjaman yang terdedah kepada sektor yang mempunyai risiko ESG yang tinggi serta pendedahan kepada dan risiko daripada perubahan iklim serta meningkatkan pinjaman mampannya," jelasnya.


Namun, beliau berkata, AMMB bukanlah pilihan ESG dalam kalangan bank di Malaysia kerana ia masih ketinggalan di belakang beberapa pemain industri lain dari segi pendedahan kepada ESG, tetapi positif terhadap komitmennya untuk menambah baik standard tersebut.


Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' terhadap AMMB berdasarkan kepada penilaiannya yang menarik.


"Pemulihan berterusan dalam pendapatan sesaham (EPS) teras bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY23 akan menjadi potensi kepada penilaian semula penarafan.


"Buat masa ini kami mengekalkan unjuran EPS bagi FY22-FY24 dan model diskaun dividen (DDM) berdasarkan harga sasaran RM3.64 sesaham," katanya.



* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.