• newsatmy

Johor Port terima Anugerah Perdana Menteri sempena AKI 2020

4 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Johor Port Bhd dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Menteri sempena Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2020 yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), pada Selasa.


Anugerah tersebut disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu majlis tertutup di Kuala Lumpur. Turut hadir, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


Selain itu, syarikat itu turut meraih Anugerah Sektor Perkhidmatan Kategori 4 iaitu syarikat domestik dengan perolehan melebihi RM100 juta.


Menurut MITI, secara keseluruhan, sebanyak 11 anugerah diberikan kali ini kepada syarikat-syarikat dalam sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan berkaitan pembuatan.


Ia turut menyaksikan Longi (Kuching) Sdn. Bhd. merangkul Anugerah Syarikat Paling Berpotensi sebagai pengiktirafan kepada syarikat yang mempamerkan pembangunan dalam pelbagai aspek serta kepimpinan yang luar biasa untuk mencapai visi dan misinya.


Anugerah Kategori Terbuka untuk penyertaan syarikat multinasional daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan dimenangi Lumileds Malaysia Sdn Bhd.


Sementara itu, ASM Technology (M) Sdn Bhd menerima anugerah terbaharu, Anugerah Kecemerlangan Industri4WRD iaitu pengiktirafan kepada syarikat yang telah berjaya melaksanakan teknologi dan proses Industri 4.0.


Di samping itu, Anugerah Sektor Pembuatan bagi Kategori Satu dimenangi Proguard Safety Manufacturing Sdn Bhd, Fumakilla Malaysia Berhad (Kategori 2) dan UWC Berhad bagi Kategori 3.


Bagi Anugerah Sektor Perkhidmatan, IOT Management Sdn Bhd, Amalgamated Plant Engineering Sdn Bhd dan Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd masing-masing memenangi Kategori 1, 2 dan 3.


Penyertaan AKI 2020 telah dinilai oleh barisan juri penilai yang berkaliber berpandukan Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF), sebuah rangka kerja yang dibangunkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia, juga agensi di bawah MITI.


MBEF adalah kerangka penilaian berdasarkan Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan (BEF) yang diiktiraf di peringkat global dan diguna pakai oleh lebih 83 buah negara serta 96 pentadbir anugerah di seluruh dunia.


Antara negara yang menggunakan BEF termasuklah Jepun, Singapura, Australia, New Zealand, negara-negara Eropah dan Amerika Latin.



*Berita asal di DagangNews.com