top of page
  • newsatmy

Kadar faedah AS kekal dijangka perkukuh ringgit

3 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) baru-baru ini memberi petunjuk Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) tidak akan menaikkan kadar faedah pada 2021 dan akan mendorong dolar untuk kekal rendah bagi beberapa tempoh sukuan akan datang


Ketua Pakar Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, berkata lebih 25 peratus daripada semua wang dolar AS yang berada dalam edaran kini adalah dicetak pada 12 bulan lalu, seperti yang diukur oleh M2.


"Pada kemuncak percetakan itu, Fed mewujudkan wang baharu dolar AS bernilai lebih AS$425,000 pada setiap saat, dan bank pusat AS itu melakukannya pada setiap saat bagi sembilan minggu berturut-turut," katanya kepada Bernama.


Shan berkata, ringgit setakat ini terbukti berdaya tahan dalam pasaran mata wang berikutan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kestabilan struktur atau asas ringgit berbanding dolar AS.


Malah, diskaun kadar pada 1.75 peratus, BNM juga disifatkan mempunyai ruang pergerakan yang sewajarnya bagi tempoh suku-suku akan datang, kata beliau.


"BNM dijangka menggunakan pergerakan taktikal yang diperlukan sekiranya kadar pertukaran itu ditentukan sebaliknya oleh pasaran dan akan menyebabkan nilai saksama ringgit/dolar AS.


"Di Juwai IQI, kami mengunjurkan nilai saksama ringgit/dolar AS dalam suku kedua 2021 pada lingkungan 3.98 hingga 4.12 dengan mengambil kira lebih banyak rangsangan disalurkan ke dalam pasaran," katanya.


Bagi tahun penuh, ringgit dijangka diniagakan sekitar paras 3.67 dan 4.10 berbanding dolar AS dengan unit Malaysia itu mengekalkan kestabilan strukturnya di pasaran pada 2021-2022, kata Shan.


Beliau berkata, Jabatan Perdagangan melaporkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS meningkat pada kadar tahunan 6.4 peratus bagi suku pertama 2021 berbanding pada suku keempat 2020.


Ini sekali gus meneruskan pemulihan yang diyakini kalangan ahli ekonomi bahawa ia bermula pada Mei 2020 selepas gelombang pertama pandemik di AS mulai reda, katanya.

Ia menjadikan KDNK 0.9 peratus di bawah paras yang telah dicapai pada suku keempat 2019, sebelum krisis kesihatan itu bermula, katanya.


"Dalam tempoh satu atau dua bulan berikutnya, ekonomi AS akan kembali kepada tahap seperti sebelum krisis COVID-19 melanda, namun pemulihan seperti yang disasarkan Fed masih lagi jauh untuk dicapai.


"Mungkin pelabur perlu berhenti daripada menjangkakannya positif sebelum ia berjaya dicapai. Berlandaskan lebih banyak rangsangan wang masuk ke dalam ekonomi negara itu dan pentadbiran Presiden Joe Biden yang terlalu mementingkan Teori Monetari Moden (MMT), dolar AS akan mengalami penurunan dalam beberapa tempoh sukuan akan datang," katanya.


Beliau berkata, dolar AS lazimnya menimbulkan sentimen kukuh dalam kalangan mata wang, sama ada diminati atau dihindari.


"Bagaimanapun, tiada perkara yang benar-benar kukuh membabitkan dolar AS ini. Satu lagi faktor yang akan melemahkan dolar AS itu adalah kehadiran yuan digital di pasaran yang menyebabkan pelabur beralih kepadanya bagi tujuan aktiviti perdagangan dan perniagaan mereka," katanya.


Beliau berkata, People's Bank of China juga bersedia untuk menggunakan yuan digital bagi kemudahan usahawan China, peniaga Inisiatif Belt and Road (Jalur dan Laluan) serta pelabur am di peringkat global.


Ini akan menyebabkan kemasukan yuan yang lebih kukuh di pasaran kewangan.


-BERNAMA

bottom of page