• newsatmy

KDNK Malaysia dijangka melonjak 6.0-7.5 peratus tahun ini

1 April 2021

KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang pada kadar 6.0 hingga 7.5 peratus bagi tahun 2021 berikutan permintaan luaran yang lebih kukuh dan peningkatan aktiviti domestik.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata data Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2020 Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikeluarkan hari ini, selaras dengan anggaran Bank Dunia iaitu enam peratus dan Dana Kewangan Antarabangsa (6.5 peratus).


Katanya, kedua-duanya mengunjurkan bahawa Malaysia bakal mencapai salah satu kadar pertumbuhan ekonomi yang tertinggi di rantau ini.


"Terdapat beberapa tanda pemulihan ekonomi yang menggalakkan, termasuk pertama adalah pengekangan yang berkesan bagi gelombang ketiga kes COVID-19 di negara ini.


"Kedua, Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang tersusun dan sistematik, di mana Fasa 1 untuk barisan hadapan telahpun selesai lebih awal dan melebihi sasaran dan fasa 2 pula akan bermula pada 19 April," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Beliau berkata, selain itu, tanda-tanda yang memberangsangkan di dalam pasaran buruh yang tentunya akan menyokong pemulihan tahap pendapatan dan penggunaan swasta.


"Tinjauan FMM-MIER yang diumumkan pada awal bulan Mac menunjukkan bahawa terdapat lebih banyak pekerjaan di sektor pembuatan baru-baru ini, seperti yang dizahirkan menerusi indeks pekerjaan yang meningkat dari 82 pada separuh pertama tahun 2020 kepada 95 pada separuh kedua tahun 2020.


"Dari segi pengambilan pekerja, 15 peratus majikan telah meningkatkan jumlah pekerja mereka pada akhir tahun 2020, berbanding 6 peratus separuh pertama tahun 2020, yang mencerminkan peningkatan sentimen perniagaan," ujarnya.


Faktor keempat katanya, adalah peningkatan kadar penempatan pekerja berdasarkan data Skim Insurans Pekerjaan PERKESO.


Beliau berkata, kerajaan yakin keadaan akan bertambah baik di dalam beberapa bulan yang akan datang.


Mengulas lanjut, katanya jumlah eksport Malaysia yang meningkat 17.6 peratus ke RM87.6 bilion, dan jumlah import pula meningkat sebanyak 12.7 peratus ke RM69.7 bilion, menjadikan lebihan dagangan meningkat 41.6 peratus kepada RM17.9 bilion pada Februari 2021.


Beliau yakin pemulihan ekonomi negara berada di landasan yang tepat dan pelbagai dasar yang dilaksanakan kerajaan menyumbang kepada pemulihan ekonomi yang kukuh pada tahun 2021, berlandaskan komitmen penuh kerajaan bagi mencapai konsolidasi fiskal dalam jangka sederhana hingga panjang.


- Astro Awani

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.