• Nihaba

Kenaikan harga barang tiada kaitan dengan isu kartel

22 Oktober-KUALA LUMPUR

Kenaikan harga barang bukan disebabkan oleh isu kartel sebaliknya akibat ketidakcekapan rantaian bekalan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid.

Beliau berkata dapatan itu adalah hasil penemuan kajian dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenai pasaran sektor makanan yang memfokuskan kepada beberapa item barangan seperti daging lembu, ikan kembung, kobis bulat dan lain-lain.


“Contoh ketidakcekapan ialah barang dari Cameron Highlands untuk dijual di Tapah terpaksa datang ke Kuala Lumpur dahulu, kemudian baru ke Tapah. Begitu juga barang-barang dari Johor untuk ke Negeri Sembilan (perlu) datang ke sini (Kuala Lumpur).

“Kajian tersebut juga mendapati ikan kembung melalui tujuh hingga lapan orang tengah. Bayangkan kalau satu tahap orang tengah mengambil 20 peratus keuntungan jadi berapa peratus harga barang meningkat. Jadi dapatan kita, tidak ada kartel yang menjadikan harga barang meningkat kerana banyak orang tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada persidangan Dewan Negara pada Khamis.

Menjawab soalan Senator Dr Yaakob Sapari sama ada kerajaan bersedia untuk meminda satu akta antimonopoli, Rosol berkata setakat ini tidak timbul isu kartel dan akta sedia ada seperti Akta Persaingan 2010 mempunyai kuasa mengenai isu monopoli.


Beliau berkata bagi mengurangkan kesan kenaikan harga barangan terutama penduduk luar bandar dan pedalaman, KPDNHEP melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program penyeragaman harga dan program pengedaran barangan perlu seperti beras, minyak masak, gandum, gula, diesel, petrol RON95 dan LPG, serta ‘community drumming’.

“Sebagai contoh pada tahun ini, sebanyak 802 kawasan luar bandar terlibat dengan program pengedaran barangan perlu dan ‘community drumming’ yang mana terdapat pertambahan 137 kawasan menerima manfaat program ini.

“Antara kawasan baharu ialah seperti Pulau Perhentian dan Pulau Redang di Terengganu serta Pulau Tioman, Kuala Tahan dan Kampung Bantal di Pahang. Secara keseluruhannya sehingga kini lebih 1.23 juta penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman menerima manfaat program ini melalui peruntukan RM200 juta tahun ini,” katanya.

Beliau turut menyeru para pengguna supaya menjadi pengguna pintar dengan merancang pembelian terbaik, mengetahui hak pengguna dan menyalurkan aduan berkaitan kepenggunaan pada saluran yang betul.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Senator Datuk Razali Idris adakah kerajaan bersedia untuk memberi subsidi 50 peratus bagi pembelian kit ujian kendiri COVID-19 khususnya kepada golongan B40 dan M40, Rosol berkata setakat ini kerajaan tidak ada cadangan berhubung perkara itu.


“Cuma apa yang kita rancang dan kita laksanakan adalah dengan penjualan lebih meluas berbanding di farmasi dan klinik. Sehingga hari ini kit ujian kendiri ini berharga RM19.90 secara runcit dan RM16 secara borong…dijangka dengan adanya penjualan meluas ini mungkin boleh turunkan lagi harga ditetapkan itu,” katany