• Arissa

Kerajaan perlu rangka pelan pemulihan jangka panjang - Pakar ekonomi

4 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu merangka strategi atau pelan pemulihan jangka panjang untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19.


Menurut Pensyarah Keusahawanan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya Prof Madya Dr Aida Idris, sudah tiba masanya untuk kerajaan bersama-sama Majlis Pemulihan Negara yang ditubuhkan baru-baru ini menjana satu pelan yang membolehkan ekonomi Malaysia bergerak dalam satu jangka masa yang panjang.


"Saya melihat dengan penglibatan tokoh-tokoh korporat dalam majlis tersebut, satu pelan yang strategik dapat dirangka selaras dengan aspirasi Kemakmuran Bersama 2030," katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk 'Bagaimana Pemulih Memulih?' terbitan Bernama TV, malam tadi.


Katanya satu perancangan kelangsungan ekonomi untuk tempoh lima hingga 10 tahun ke hadapan perlu ada supaya negara dapat keluar daripada krisis kesihatan yang melanda negara sejak tahun lepas sepenuhnya.


"Pakej-pakej yang diperkenalkan sebelum ini sememangnya bertepatan dalam membantu isi rumah dan golongan perusahaan kecil dan sederhana untuk menguruskan aliran tunai pada masa ini sahaja," katanya.


Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia Prof Datuk Dr Azali Mohamed pula berkata walaupun pakej yang diperkenalkan sebelum ini amat penting untuk golongan tertentu, bantuan tersebut hanyalah untuk kelangsungan dan tidak mungkin dapat digunakan untuk tujuan simpanan dan pelaburan.


"Saya ragu pakej-pakej yang diperkenalkan ini dapat bertahan sehingga dua atau tiga tahun akan datang berikutan suntikan yang diberikan oleh kerajaan hanya untuk jangka masa pendek," katanya.


Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan mengumumkan kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan memperincikan langkah-langkah pemulihan ekonomi lain semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2022.


RMK-12 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 20 Sept 2021 manakala Belanjawan 2022 pada 29 Okt 2021.



-- BERNAMA