• Arissa Azman

Kerajaan peruntuk RM18 juta sedia perkhidmatan bank bergerak

23 September 2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM18 juta kepada bank tempatan untuk menyediakan kira-kira 30 unit Bank Bergerak di seluruh negara yang merangkumi 250 kawasan dan mukim luar bandar untuk memudahkan lebih ramai rakyat mendapatkan perkhidmatan perbankan.


Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata perkhidmatan tersebut telahpun dilancarkan pada Julai 2021 di Sarawak dan akan dimulakan di Sabah pada penghujung September ini.


“Melalui inisiatif ini, penerima bantuan tunai kerajaan boleh mengakses pelbagai perkhidmatan perbankan termasuk pembukaan akaun, penyimpanan, pengeluaran dan pemindahan wang, pembayaran bil serta perbankan digital,” katanya berhubung penyaluran bantuan terutamanya Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kepada rakyat.


Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.


Yamani berkata hampir lapan juta penerima BPR atau 94 peratus daripadanya mempunyai akaun, manakala enam peratus atau hampir 500,000 penerima menggunakan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi tujuan penunaian.


Dalam pada itu, katanya, hampir 20,000 data penerima bantuan tunai yang tidak mempunyai akaun bank turut dimuat naik dalam pangkalan data BSN untuk memudahkan penunaian penerima pada masa akan datang tanpa perlu menantikan program penunaian dan Bank Bergerak untuk sampai ke tempat mereka.


“Ini menunjukkan kerajaan sentiasa komited memastikan semua bantuan adalah berkesan dan menepati kumpulan sasar yang ditetapkan terutamanya golongan yang terjejas akibat COVID-19,” katanya.


Pada masa ini, pembayaran bantuan tunai kerajaan masih dimandatkan secara eksklusif kepada BSN berdasarkan rangkaian meluas cawangan bank itu.


“Bagaimanapun, pertimbangan untuk melantik bank-bank lain sebagai ejen untuk pembayaran secara tunai boleh dipertimbangkan berdasarkan keperluan,” jelas Yamani.


BSN mempunyai rangkaian penyediaan perkhidmatan yang terbesar dalam kalangan institusi perbankan dengan 390 cawangan seluruh negara.


Sebanyak 179 cawangan terletak di kawasan luar bandar di mana 21 cawangan berstatus cawangan sosial / mandat.