top of page
  • admin

Keuntungan bersih FGV naik kepada RM1.32 bln untuk tahun kewangan 2022


KUALA LUMPUR 27 Feb: Keuntungan bersih FGV Holdings Bhd (FGV) meningkat kepada RM1.32 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 daripada RM1.17 bilion pada tahun sebelumnya disebabkan oleh harga purata minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi dan sumbangan lebih baik daripada logistik perniagaannya.


Hasilnya melonjak kepada RM25.56 bilion pada 2022 berbanding RM19.57 bilion, kata FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


FGV berkata, keuntungan dalam bahagian perladangan melonjak kepada RM2.1 bilion untuk tahun kewangan 2022 daripada RM1.6 bilion dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya, kebanyakannya disebabkan oleh harga purata MSM lebih tinggi iaitu RM4,832 setan metrik berbanding RM3,671 satu tan metrik direkodkan dalam tahun kewangan sebelumnya, ditambah dengan volum jualan lebih tinggi sebanyak 19 peratus. "Prestasi lebih baik itu turut disumbangkan oleh peningkatan margin dalam perniagaan hiliran dan baja serta dirangsang oleh bahagian keuntungan daripada usaha sama berjumlah RM17.26 juta kepada RM106.08 juta pada tahun kewangan semasa," katanya.


Bagaimanapun, sebahagian keuntungan bagi bahagian itu terjejas oleh caj nilai saksama yang lebih tinggi ke atas perjanjian pajakan tanah sebanyak RM352.87 juta berbanding RM3.98 juta didaftarkan pada tahun sebelumnya, katanya.


FGV berkata, pengeluaran tandan buah segar (FFB) meningkat sedikit kepada 3.99 juta tan metrik daripada 3.98 juta tan metrik sekali gus membawa kepada hasil lebih tinggi sebanyak 14.57 tan metrik sehektar.


Bagi bahagian logistik, keuntungan melonjak sebanyak 31 peratus tahun ke tahun disebabkan oleh kadar pengendalian yang lebih tinggi, katanya.


Bagi suku terakhir, FGV mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM337.71 juta berbanding RM465.09 juta pada suku yang sama 2021 manakala hasil berkurangan 1.0 peratus kepada RM6.1 bilion daripada RM6.17 bilion sebelumnya.


Sementara itu, FGV dalam satu kenyataan berkata, keuntungan operasinya mengukuh 27 peratus tahun ke tahun kepada RM2.33 bilion semasa tahun kewangan 2022, paras tertinggi sejak penyenaraiannya pada 2012 berikutan peningkatan dalam margin produk sawit berikutan purata harga MSM lebih tinggi direalisasikan sebanyak 32 peratus, ditambah pula dengan jumlah pengeluaran lebih tinggi yang dibawa oleh sektor logistik.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Nazrul Mansor berkata, bahawa seiring dengan dasar tiada yuran pengambilan FGV untuk penempatan pekerjaan, kumpulan itu akan membayar balik kepada pekerja asing yang bekerja dan bekas pekerja selepas 27 Jun 2019 dan terpaksa membayar yuran pengambilan kepada ejen atau pihak ketiga yang lain di negara asal mereka.

"Bayaran kepada 23,333 pekerja asing kami sekarang berjumlah RM81.64 juta akan dibuat dalam tiga peringkat antara Mac dan September 2023.

"Selain itu, FGV telah mewujudkan dana terikat (sinking fund) berjumlah RM30 juta untuk membayar balik bekas pekerja yang membayar yuran pengambilan semasa bekerja dengan FGV tetapi tidak lagi bekerja dengan syarikat itu," katanya.


Kumpulan itu telah mengumumkan pembayaran dividen akhir sebanyak 11 sen sesaham, diterjemahkan kepada pembayaran dividen sebanyak RM401.30 juta.

Ia mengisytiharkan jumlah pembayaran dividen sebanyak 15 sen sesaham untuk tahun kewangan 2022. - BERNAMA

bottom of page