top of page
  • newsatmy

Kos meningkat,namun subsidi elektrik masih kekal

17 Ogos


PENINGKATAN bagi tarif elektrik adalah antara kerisauan besar yang difikirkan rakyat Malaysia. Andai berlaku peningkatan bil elektrik, maka kesan domino yang bakal terhasil pasti memberi tekanan tambahan buat rakyat.


Menilai keadaan semasa, kerajaan masih membekalkan subsidi tarif elektrik kepada semua pengguna meskipun berlaku peningkatan kos yang amat mendadak. Kerajaan telah menampung subsidi tarif elektrik sebanyak RM6.51 bilion pada 2022 bagi memastikan tiada kenaikan tarif elektrik yang mana bertujuan membantu rakyat menghadapi tekanan inflasi.


Manakala menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, kos pelarasan tarif elektrik melalui Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh bagi bulan 7 hingga bulan 12 bagi tahun 2022 dianggarkan mencecah hampir RM20 bilion.


Kos ini adalah tiga kali ganda daripada kos RM7 bilion bagi tempoh bulan 1 hingga bulan 6 tahun ini. Peningkatan yang berlaku dalam tahun yang sama ini amat besar dan memerlukan pelan strategik oleh kerajaan.


Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sedang dalam dilema bagi menimbang tara sama ada ingin memilih kebajikan rakyat atau menjaga kemampanan perbelanjaan negara dalam kos pengurusan.


Besar kemungkinan, kerajaan perlu mengambil langkah subsidi elektrik bersasar agar nikmat bil elektrik berpatutan masih tetap boleh diteruskan namun hanya kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Dalam masa sama, kemampuan kewangan kerajaan masih boleh bertahan.


KeTSA di bawah kepimpinan Dato’ Seri Takiyudin Hassan meletakkan aspek kebajikan rakyat pada tempat yang teratas. Oleh sebab itu beberapa langkah telah diambil agar kesan peningkatan kos ini tidak dipindahkan kepada rakyat secara terus.


Antara langkah segera adalah penggunaan kos bahan api alternatif yang paling murah untuk penjanaan elektrik.


Manakala bagi pelan jangka masa panjang, Pelan Pembangunan Penjanaan yang menetapkan hala tuju bagi perancangan pembekalan elektrik negara sedang dibangunkan.


Antara objektif pelan ini adalah dengan meningkatkan campuran tenaga boleh baharu kepada 31 peratus pada 2025 dan 40 peratus pada 2035 sebagaimana sasaran ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER).


Inilah manifestasi bahawasanya teknokrat PAS juga mampu menguruskan bidang teknologi dan luar disiplin agama dengan baik. Marilah kita mendoakan agar kenaikan kos tarif elektrik akan tetap terus ditampung kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

bottom of page