top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

KPPK lancar Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 awal tahun depan - Zuraida

11 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan melancarkan Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 awal tahun depan untuk dijadikan rujukan kepada sektor-sektor komoditi negara seperti kelapa sawit, getah, kayu-kayan, lada, koko dan kenaf.

Menteri Datuk Zuraida Kamaruddin berkata dasar tersebut telah siap sepenuhnya dan bakal dibentangkan kepada kabinet tidak lama lagi.


DAKN 2021-2030 dirangka bagi menggantikan Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020 dalam usaha memacu pembangunan sektor itu secara lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran. "Apabila siap, ia akan digunakan sebagai rujukan kepada komoditi negara terutamanya dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang menjadi keutamaan kita pada masa ini," kata Zuraida kepada Bernama selepas acara ulang tahun ke-40 dan pelancaran buku Majlis Kayu Kumai dan Tanggam Malaysia (MWMJC) yang diadakan pada Jumaat.

Beliau berkata adalah penting bagi pihak berkepentingan dalam industri untuk mengikut dasar itu yang merupakan hala tuju masa depan negara selain dapat mengelak daripada menjadi sasaran, terutamanya oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.


Sementara itu, dalam ucapannya, Zuraida berkata sektor minyak sawit dan getah Malaysia sentiasa menjadi tajuk utama media barat seperti dakwaan buruh paksa, justeru, beliau menggesa agar industri perkayuan bersedia dari segi tenaga buruh dan perumahan pekerja.

"Kita perlu mengambil berat aspek ESG kerana ia akan menjejaskan keupayaan dan potensi pasaran kami," tegasnya.


Menjelas lebih lanjut dasar berkenaan, Ketua Setiausaha KPPK Datuk Ravi Muthayah berkata dasar itu akan memberi tumpuan kepada lima teras dengan kemampanan dan keterangkuman adalah dua teras utama.

"Kedua-dua teras ini akan meliputi ESG dari segi memastikan aspek kawal selia industri serta keberkesanan program penyampaian kami.

"Semua ini bukanlah sesuatu yang baharu. Malah kami telah memasukkan teras utama dalam skim pensijilan sebelum ini seperti dalam Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO)," katanya.

Mengimbas kembali, Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia berjanji untuk mengehadkan kawasan penanaman kelapa sawitnya pada 6.5 juta hektar dan telah mengharamkan penukaran kawasan hutan simpan kekal untuk penanaman kelapa sawit dan tiada penanaman baharu dibenarkan di kawasan tanah gambut.


Dalam pada itu, menyentuh mengenai isu kekurangan tenaga buruh, Zuraida berkata kerajaan akan membenarkan lebih ramai tenaga kerja asing memasuki sektor lain tidak lama lagi.

Pengerusi MWMJC George Yap pula berkata secara keseluruhan, industri perkayuan memerlukan sekitar 50,000 tenaga kerja asing.

"Pada masa ini, kami memerlukan tenaga kerja asing kerana bakat tempatan tidak mahu menyertai industri. Terdapat juga keperluan untuk menarik bakat baharu ke dalam industri dan membangunkan produk baharu dan inovatif," katanya.


KPPK menetapkan eksport produk berkaitan kayu mencecah RM24 bilion tahun depan daripada RM22 bilion yang dicatatkan pada 2020, didorong oleh penerokaan pasaran baharu seperti Asia Tengah, Timur Tengah dan Oceania.




-- BERNAMA

Comments


bottom of page