top of page
Writer's pictureArissa Azman

Lam Research buka kemudahan pembuatan terbesar di Malaysia

4 Ogos 2021

SEBERANG PERAI: Lam Research Corporation pada Selasa mengumumkan pengembangan kapasiti pembuatan globalnya dengan pembukaan kemudahan terbesar syarikat tersebut di Batu Kawan di sini.


Tempat pembuatan baharu ini akan membolehkan Lam untuk bekerjasama rapat dengan pelanggan utama dan rakan rantaian bekalan di rantau ini, sambil memperkukuhkan daya tahan rangkaian pembuatan syarikat dan menyokong pertumbuhan dalam peningkatan permintaan untuk teknologi semikonduktor.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Lam Research Corporation, Tim Archer berkata, pembukaan kemudahan terbaharu syarikat itu di Pulau Pinang merupakan langkah kritikal yang telah diambil untuk memenuhi permintaan teknologi canggih Lam yang semakin meningkat, mengembangkan jejak globalnya untuk melayani pelanggan dengan lebih baik dan memposisikan syarikat agar mencapai pertumbuhan berterusan.


Archer yang berada di lokasi untuk pembukaan kemudahan baharu itu berkata, beliau mengiktiraf usaha luar biasa pekerja dan rakan Lam untuk menyelesaikan projek tepat pada waktunya walaupun sedang menghadapi cabaran pandemik ini.


Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang menghadiri majlis maya untuk menandakan pembukaan kemudahan tersebut, menyatakan, lebih banyak syarikat semikonduktor global sedang memperluas operasi mereka ke Pulau Pinang.


Menurutnya, ia membuktikan usaha kerajaan untuk menciptakan persekitaran yang lestari, ekosistem perindustrian yang kuat dan infrastruktur yang baik dapat menarik minat para pelabur utama seperti Lam.


Chow tambah bahawa dengan kehadiran Lam, yang pertama di antara pembuat peralatan fabrikasi wafer teratas di dunia yang menubuhkan kemudahan pembuatannya di Malaysia, Pulau Pinang akan dapat meningkatkan rantaian nilai semikonduktor global dengan membuka peluang baharu dalam pembuatan semikonduktor bahagian hadapan.


Menurut beliau, ia mewujudkan prospek untuk peluang pekerjaan yang bernilai lebih tinggi untuk tenaga kerja tempatan.


Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Arham Abdul Rahman berkata, pihaknya berbangga bahawa Malaysia mampu terus menyesuaikan diri dalam pertumbuhan dan strategi perniagaan syarikat asing yang bereputasi baik.


Pelaburan ini adalah bukti tahap daya saing sektor pembuatan luas Malaysia.


“Walaupun kita sedang menghadapi masa yang amat mencabar dengan pandemik COVID-19, kami akan terus mewujudkan persekitaran yang selamat dan mesra perniagaan.


“Kerajaan, melalui MIDA, sedang bekerja keras untuk menarik pelaburan berkualiti lebih tinggi di seluruh dunia, terutamanya dalam bidang teknologi dan inovasi, seperti Lam, untuk melonjakkan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi mengikut kerangka Aspirasi Pelaburan Negara (NIA)," katanya.


Kemudahan Lam di Batu Kawan, juga dikenali sebagai Lam Research International Sdn Bhd (LRI), pada mulanya dirancang untuk mempunyai kawasan binaan seluas 700,000 kaki persegi namun kini telah dibesarkan kepada seluas 800,000 kaki persegi untuk memenuhi permintaan yang meningkat.


Tambahan lagi, syarikat ini telah mengembangkan unjuran pengambilan awal dari 350 hingga ke lebih daripada 600 orang pekerja menjelang akhir tahun untuk menyokong pertumbuhannya.


LRI merupakan lokasi pembuatan keenam dalam rangkaian kilang global Lam, dengan dua lokasi di Amerika Syarikat, dan kemudahan-kemudahan di Austria, Korea dan Taiwan.


Lam telah menghantar modul pertamanya dari kemudahan tersebut dan menjangkakan kemudahan itu akan meningkatkan pengeluaran seluruh portfolio produk terkemuka Lam.


Majlis pembukaan maya LRI hari ini telah dihadiri oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian D. McFeeters; dan pengurusan kanan Lam termasuk Naib Presiden Eksekutif Sokongan Pelanggan Kumpulan Perniagaan dan Operasi Global, Pat Lord; Naib Presiden Korporat Pembuatan, Mike Snell dan Pengurus Besar LRI, Soon Kuek.


Lam Research Corporation merupakan pembekal global peralatan dan perkhidmatan fabrikasi wafer yang inovatif kepada industri semikonduktor.


Sebagai rakan kongsi yang dipercayai, kolaboratif untuk syarikat semikonduktor terkemuka di dunia, Lam menggabungkan kemampuan kejuruteraan sistem yang unggul, kepemimpinan teknologi, dan komitmen yang teguh terhadap kejayaan pelanggan untuk mempercepat inovasi melalui peningkatan prestasi peranti.


Hari ini, hampir semua cip termaju dibina dengan teknologi Lam. Lam Research (Nasdaq: LRCX) merupakan sebuah syarikat FORTUNE 500® beribu pejabat di Fremont, California, dan beroperasi di seluruh dunia.



--AWANI

Comments


bottom of page