• newsatmy

Lebih 500 syarikat mohon sertai Pikas

14 Jun 2021

PETALING JAYA – Lebih daripada 500 syarikat, membabitkan 106,591 pekerja telah memohon untuk menyertai Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerja­sama Awam-Swasta (Pikas)

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, pelaksanaan Pikas akan bermula pada 16 Jun ini dan proses pemvaksinan diadakan di premis kilang atau lokasi perindustrian yang telah dikenal pasti.

Menurutnya, penyertaan syarikat dan pekerja dalam Pikas adalah secara sukarela, dengan keutamaan diberi mengikut beberapa pertimbangan, termasuk lokasi syarikat sama ada terletak di zon merah Covid-19.

“Syarikat dalam subsektor pembuatan kritikal termasuk elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan, besi dan keluli, alat perubatan, alat pelin­dung diri (PPE), minyak dan gas serta produk getah termasuk pembuatan sarung tangan perubatan akan diberikan keutamaan untuk vaksinasi.

“Sektor-sektor ini penting dalam menyokong rantaian bekalan produk dan perkhidmatan penting seperti pembinaan, penyelenggaraan serta kelancaran infrastruktur kritikal termasuk utiliti dan sistem penjagaan kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.

Menurut MITI, syarikat yang turut serta perlu mengikut terma dan syarat ditetapkan, antaranya memerlukan pekerja berdaftar dengan MySejahtera untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Majikan tidak dibenarkan memotong gaji pekerja untuk menanggung yuran pentadbiran kepada pengamal am perubatan swasta dan untuk penggunaan pusat pentadbiran vaksin yang dikendalikan oleh pihak swasta, termasuklah apabila pekerja tidak lagi bekerja di syarikat sama sebelum imunisasi penuh pekerja berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kanan dan Menteri Perdaga­ngan Antara­bangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ber­kata, kerajaan komited untuk memastikan pekerja mendapat vaksin percuma di bawah Pikas, dalam mentadbir pengurusan vaksinasi yang dilaksanakan di seluruh negara.

“Ini termasuk vaksinasi di premis kilang yang akan melibatkan pengamal perubatan swasta,”­ katanya.


- Kosmo Online