• newsatmy

MAHB sasar pelaburan RM1.3 bilion jadikan Lapangan Terbang Subang hab serantau

20 April 2021


SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyasarkan pelaburan sebanyak RM1.3 bilion untuk pembangunan semula Lapangan Terbang Subang (SZB) yang akan mentransformasikannya daripada pengendali lapangan terbang kepada pemaju utama ekosistem dan hab penerbangan di Asia Pasifik.


Ketua KLIA Aeropolis Sdn Bhd Randhill Singh berkata RM300 juta akan diperlukan untuk infrastruktur biasa dan RM1 bilion untuk membina kemudahan yang boleh disewa seperti hangar, kilang, penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) serta bengkel.


Beliau berkata SZB akan memanfaatkan platform teknologi global dan vendor yang sama digunakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mempunyai akses kepada amalan dan standard global memastikan sinergi yang lengkap dalam pengalaman penumpang dengan KLIA.


"Malaysia perlu mengukuhkan kedudukannya sebagai hab dalam segmen ini iaitu perniagaan dan penerbangan komersial, ekosistem helikopter, kargo udara dan logistik e-dagang, pusat penerbangan teknologi baharu, pembuatan aeroangkasa dan MRO di rantau ini.


"Mempunyai satu ekosistem yang saling melengkapi antara KLIA dan Lapangan Terbang Subang membolehkan kami untuk memastikan bahawa kami mempunyai kedudukan kepimpinan dalam APAC," katanya pada taklimat media mengenai perkembangan itu semalam.


KLIA Aeropolis adalah anak syarikat MAHB yang bertanggungjawab untuk melaksanakan pembangunan tanah untuk rangkaian lapangan terbang pengendali lapangan terbang itu di seluruh negara.


Randhill berkata pelan induk komprehensif selama lima tahun, yang dijangka akan selesai pada akhir 2025, akan dibiayai melalui dana dalaman oleh pengendali lapangan terbang itu dan kerjasama dengan penggiat industri.


Beliau berkata pelaburan itu untuk kemudahan bangunan yang boleh disewa seperti hangar, kilang, kilang pembuatan aeroangkasa dan MRO.


Menurut beliau, seluruh projek itu dijangka menjana output ekonomi lebih RM5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang, mewujudkan lebih 10,000 pekerjaan.


"Pada masa ini, kami telah membangunkan kira-kira 60 ekar (24.28 hektar), mewakili 25 peratus daripada keseluruhan 250 ekar (101.17 hektar).


"Kami menjangka pulangan yang positif, tempoh pembayaran balik dalam tempoh 10 tahun untuk keseluruhan pembangunan," katanya.


Beliau berkata MAHB telah mendapat 40-50 peratus kadar langganan untuk penyewa dalam keseluruhan pembangunan untuk 'airside' dan 'landside', dan dengan kemudahan baharu dapat menampung 89 pesawat satu lorong dan helikopter di apron khusus dan apron penggunaan biasa.


Randhill berkata Subang Airport mempunyai lebih 60 syarikat aeroangkasa dan penerbangan melibatkan turbo prop, penerbangan perniagaan, helikopter, MRO (ATR dan jet perniagaan), pembuatan aero dan logistik.


"Ekosistem tersebut menjana pendapatan tahunan sebanyak RM1.7 bilion dengan 4,000 pekerjaan berkemahiran tinggi. Kami menjangka tenaga kerja akan meningkat tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.


Mengenai perkembangannya, katanya pembangunan awal untuk pelan induk itu akan bermula pada awal 2022 untuk mewujudkan dua kemudahan MRO - untuk helikopter, pesawat ringan dan jet perniagaan - yang akan beroperasi pada 2023.


Randhill berkata dua penggiat MRO dijangka menandatangani beberapa perjanjian dalam tempoh beberapa bulan akan datang.


-- BERNAMA