top of page
newsatmy

Majoriti pekerja anggap teknologi sediakan peluang

3 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Kebanyakan pekerja di negara ini melihat teknologi menyediakan lebih banyak peluang berbanding risiko, demikian menurut hasil kaji selidik terkini PwC Malaysia.


Dalam kaji selidik 'Hopes and Fears Survey 2021' membabitkan 2,003 rakyat Malaysia mengenai teknologi, pekerjaan dan kemahiran yang dijalankan pada Januari dan Februari 2021, sebanyak 77 peratus responden menyifatkan teknologi menyediakan lebih peluang berbanding risiko, sementara 71 peratus pula bimbang pekerjaan mungkin berisiko berikutan automasi.


Hasil kaji selidik itu juga mendapati 19 peratus responden Malaysia berkata mereka mempunyai kemahiran digital mencukupi untuk melaksanakan pekerjaan, manakala 57 peratus pula mengatakan mereka meningkatkan kemahiran digital sejak pandemik bermula.


Dalam kalangan 57 peratus responden itu, 46 peratus mempunyai sedikit kemahiran digital dan terus mempertingkatkannya, sementara 11 peratus tidak mempunyai kemahiran digital mencukupi mampu mendapatkannya dalam pekerjaan.


Kaji selidik itu dibuat ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua awal tahun ini.


Ketua Pasaran PwC Malaysia, Nurul A'in Abdul Latif, berkata sebagaimana teknologi sebagai talian hayat untuk orang kekal bekerja dan pemacu kelangsungan perniagaan, halangan tertentu masih ada.


Beliau berkata, 78 peratus rakyat Malaysia mengatakan bahawa kekurangan akses kepada teknologi telah membatasi kemampuan mereka untuk mengembangkan kemahiran.


Katanya, keadaan itu mencerminkan kekurangan teknologi yang tepat, atau mungkin juga menunjukkan bahawa syarikat Malaysia perlu segera mengatasi jurang kemahiran melalui strategi peningkatan kemahiran yang tepat.


"Sebagai majikan, kita juga tidak boleh mengabaikan kenyataan bahawa terdapat risiko sebenar berlakunya kemerosotan dalam tenaga kerja negara. Lagipun, lebih separuh (55 peratus) responden lebih suka persekitaran kerja maya.


"Bagaimanapun, hanya 28 peratus yang dapat memutuskan hubungan dengan kerja di luar waktu kerja, termasuk hujung minggu dan menggunakan sepenuhnya hak cuti tahunan mereka," katanya dalam satu kenyataan.


Kaji selidik PwC itu juga menunjukkan 92 peratus responden berkata mereka diberi peluang oleh majikan semasa untuk meningkatkan kemahiran digital di luar tugasan normal mereka.


Sebanyak 87 peratus responden Malaysia bersetuju bahawa menjadi tanggungjawab mereka untuk meningkatkan kemahiran berbanding bergantung kepada majikan untuk melakukannya untuk mereka.


Sementara itu, 88 peratus responden berkata, mereka bersedia untuk belajar kemahiran baharu atau dilatih semula sepenuhnya supaya mereka dapat terus bekerja pada masa depan.


Pandemik juga meningkatkan kelompok pekerja baharu yang tidak takut untuk berdepan cabaran baharu sebagai sebahagian profesional dan pembangunan peribadi dengan 85 peratus responden berkata mereka mahu bekerja untuk organisasi yang boleh menyumbang secara positif kepada masyarakat.


Terdapat juga pekerja (69 peratus) yang mahu menjadi usahawan dan membuka perniagaan sendiri berbanding 49 peratus yang dicatatkan di peringkat global.


-Berita Harian

Comments


bottom of page