top of page
  • newsatmy

Malaysia dijangka capai pertumbuhan KDNK 3-4 peratus tahun ini walaupun wujud varian Omicron - Tengk

7 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak tiga hingga empat peratus pada tahun ini walaupun wujudnya varian Omicron, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.


"Kami memantau situasi dengan teliti, (tetapi) kami masih yakin bahawa kami akan dapat mencapai sasaran KDNK pada tahun ini antara tiga dan empat peratus," katanya dalam temu bual dalam program Squawk Box Asia CNBC yang disiarkan hari ini.


Tengku Zafrul menjawab soalan mengenai sama ada varian Omicron akan memberikan risiko penurunan yang lebih besar kepada ekonomi Malaysia.


Beliau menegaskan bahawa kerajaan komited untuk melindungi rakyat dan memastikan kesinambungan perniagaan berdasarkan kepentingan mereka kepada ekonomi dan ia akan sentiasa memberikan sokongan yang kukuh kepada ekosistem.


Ini dapat dilihat daripada lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion yang dilancarkan sejak dua tahun lepas untuk menangani krisis akibat COVID-19, katanya.


"Jika wujud keperluan untuk kami membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas, saya fikir kerajaan perlu melakukan apa yang perlu dilakukan," katanya.


Mengenai kebimbangan global terhadap inflasi, Tengku Zafrul berkata Malaysia tidak terkecuali daripada mengalami kadar inflasi yang tinggi berikutan gangguan rantaian bekalan disebabkan pandemik COVID-19 dan ia akan mengambil masa untuk rantaian bekalan global kembali seperti sebelum ini.


"Dari segi pembuatan, Malaysia adalah bertuah. Eksport kami meningkat sebanyak 25 peratus dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas.


"Kami telah memainkan peranan yang penting dalam rantaian bekalan dan perdagangan juga bertambah baik untuk Malaysia. Sehubungan itu, kami akan mendapat manfaat daripada pembukaan ekonomi," katanya.


-- BERNAMA

Comments


bottom of page