• newsatmy

Malaysia dikekalkan keahlian dalam WGBI FTSE Russell

31 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Malaysia terus dikekalkan di dalam World Government Bond Index (WGBI) yang diterbitkan oleh FTSE Russell, seperti yang diumumkan di dalam Pengumuman Klasifikasi Negara bagi Instrumen Pendapatan Tetapnya (siri Mac 2021).


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dalam satu kenyataan memaklumkan, WGBI merupakan penanda aras merangkumi penerbitan bon kerajaan dari lebih 20 negara utama di dalam pelbagai mata wang, yang digunakan secara meluas.


“Malaysia merupakan sebahagian daripada WGBI sejak 2004 lagi dan pengekalan keahliannya di dalam WGBI adalah bukti keberkesanan pelbagai polisi dan inisiatif yang bertujuan untuk terus meningkatkan aksesibiliti dan kecairan pasaran.


“Kementerian Kewangan (MOF) ingin mengiktiraf semua pihak yang berkaitan, terutamanya Bank Negara Malaysia (BNM), Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bursa Malaysia, dan Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (FMAM) atas usahasama yang berterusan dalam membangunkan pasaran kewangan Malaysia secara tersusun.


“Melalui kerjasama dengan BNM dan FMAM, MOF juga aktif di dalam pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan untuk menggubal polisi.


“Ia bagi meningkatkan daya saing pasaran kewangan Malaysia, yang digariskan oleh pengurusan tadbir urus dan ketelusan yang ditambah baik melalui penyelarasan pematuhan, peraturan dan keperluan operasi bagi pelabur asing mahupun domestik,” ujar beliau.


Sebelum ini, Malaysia telah disenaraikan di dalam WGBI Watch List sejak April 2019. FTSE Russell merupakan penerbit indeks pasaran saham dan perkhidmatan data yang dimiliki sepenuhnya oleh Bursa Saham London.


Keputusan yang dibuat oleh FTSE Russell juga merupakan pengiktirafan terhadap kekukuhan pasaran bon Kerajaan Malaysia, dan pengesahan bahawa negara ini mempunyai asas-asas makroekonomi dan daya tahan yang baik.


Dari segi pelabur domestik, pegangan dalam bon kerajaan disokong oleh kecairan yang mencukupi dari institusi perbankan, serta pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).


MOF akan terus bekerjasama dengan BNM, FMC, SC, Bursa Malaysia dan FMAM untuk membangunkan lagi pasaran kewangan Malaysia, serta meningkatkan kedudukannya di dalam komuniti pelabur global.


Sejak April 2019, aliran masuk terkumpul ke dalam bon kerajaan Malaysia berjumlah RM41.6 bilion; di mana RM15.6 bilion adalah antara April hingga Disember 2019, RM17.2 bilion pada tahun 2020 dan RM8.8 bilion dari Januari hingga Februari tahun ini.


Pegangan asing dalam bon kerajaan Malaysia juga meningkat kepada 24.7 peratus pada Februari 2021, berbanding 21.9 peratus pada April 2019.


Pada akhir 2020, lebih daripada separuh jumlah pegangan asing dalam bon kerajaan terdiri daripada pelabur jangka panjang seperti bank pusat dan kerajaan lain di tahap 31.5 peratus, dana persaraan global di tahap 17. peratus dan syarikat insurans di tahap 2.6 peratus.


- Astro Awani


Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.