• Arissa

Malaysia jadi rujukan utama penyelidikan ekosistem halal dunia - HDC

15 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Malaysia akan dijadikan rujukan asas bagi penyelidikan dan analisis ekosistem halal di peringkat global oleh Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Pusat Kecemerlangan Bank Pembangunan Islam Kuala Lumpur (IsDB).


Penyelidikan ekosistem berkenaan akan dimulakan di Malaysia dan kemudiannya diperluaskan secara berperingkat ke ekosistem halal di negara-negara yang berpotensi di Asia Pasifik, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Amerika.


Ketua Pembangunan Industri HDC, Hanisofian Alias berkata, kerjasama antara HDC dan IsDB dalam menghasilkan Penyelidikan Ekosistem Industri Halal untuk global akan memberi keyakinan kepada pihak berkepentingan dan pemain industri tersebut.


“Memandangkan ini merupakan sebuah penilaian global, maka pelaksanaannya akan menyeluruh, meliputi pemain industri halal dalam sektor produk guna habis dan bukan guna habis, bersama-sama perkhidmatan sokongan termasuk dan tidak terhad di Brazil, Korea Selatan, Jepun, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Amerika Syarikat (AS), China dan negara-negara ASEAN lain,” katanya dalam satu kenyataan.


Sebelum itu, kedua-dua pihak itu mengumumkan kerjasama mereka pada pembukaan webinar World Halal Business Conference 2021 HDC siri kelima, dihadiri oleh Hanisofian dan Ketua Pusat Kecemerlangan (CoE) IsDB, Mohamed Abida.


Menerusi kerjasama berkenaan, HDC akan menjalankan sorotan kajian, pengumpulan maklumat dan sintesis data diikuti analisis kualitatif dan kuantitatif pemetaan ekosistem halal bermula dengan negara ini.


Penyelidikan selama dua bulan itu akan memanfaatkan pengetahuan pakar yang luas, menggunakan data primer dan menganalisis laporan industri berdasarkan petunjuk utama berkaitan ekosistem halal termasuk Tadbir Urus, Dasar, Insentif, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), Modal Insan Pembangunan, Pembangunan Perusahaan, Infrastruktur dan Logistik serta Promosi dan Kesedaran.


Sementara itu, Mohamed Abida mengagumi pencapaian utama Malaysia yang telah membina ekosistem halal yang luas.


“Penemuan dan cadangan bagi model ekosistem industri halal akan menjadi sumber kepada penyelidikan pada masa hadapan dalam bidang yang berkaitan, dan untuk kegunaan pembuat dasar sekali gus mendorong kepada usaha perkongsian, pelaburan, serta hubungan perdagangan dan pasaran.


“Penyelidikan ini akan mengenal pasti pelan tindakan untuk pembangunan ekosistem halal yang kukuh dan mampan di negara-negara terlibat,” katanya.



Berita asal di DagangNews.com