• Arissa Azman

MDEC persiapkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana adaptasi teknologi digital

29 September 2021

KUALA LUMPUR: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan meningkatkan usaha untuk menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mengadaptasi teknologi digital dalam pengeluaran, pemprosesan dan perkhidmatan perniagaan, terutamanya melibatkan operasi perniagaan di belakang tabir.


Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, ia selari dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang memberi penekanan terhadap digital dan teknologi dalam proses pembangunan negara.


Katanya, RMK-12 juga merangkumi usaha meletakkan kedudukan Malaysia sebagai pusat digital ASEAN, memandangkan negara mempunyai kekuatan dalam penyelesaian keselamatan siber dan produk kandungan digital ketika ini.


“Fokus dalam pendigitalan PMKS dan meletakkan kedudukan Malaysia sebagai pusat digital ASEAN menerusi RMK-12 telah mengesahkan impak daripada inisiatif berkembar MDEC iaitu #SayaDigital dan Nadi Digital ASEAN.


“Kami akan terus mendorong inisiatif-inisiatif untuk mencapai ekonomi digital yang progresif dan inklusif selaras dengan visi kami dan juga matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.


Pelan lima tahun (2021–2025) RMK-12 yang bertemakan “Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan” – menyasarkan untuk memacu Malaysia keluar daripada kesan pandemik COVID-19 dan meletakkan ekonomi di landasannya semula.


Usaha untuk mencapainya akan difokuskan kepada pendigitalan PMKS untuk meluaskan akses pasaran dan memudahkan pelaburan digital yang strategik dan berkualiti.


Tambah Mahadhir, inisiatif MDEC seperti eRezeki, eUsahawan dan Global Online Workforce (GLOW) secara kolektifnya telah menjana pendapatan lebih RM2.153 bilion.


Ujarnya, terbaharu, MDEC telah melancarkan program 100 Go Digital Coaching edisi 2021 yang bermatlamat untuk membolehkan perniagaan dalam sektor utama mendigitalkan perniagaan mereka serta kekal kompetitif, mampan dan mencatatkan keuntungan walaupun ketika pandemik.


"Tahun ini, MDEC telah menganjurkan kempen Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online yang memberi manfaat kepada 300,000 perniagaan tempatan dengan membantu mereka menyertai platform eDagang dan eBayar," katanya.



*Berita asal di DagangNews.com