• newsatmy

MILDEF kenalkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi “HMAV4X4”

13 Februari 2021

Syarikat tempatan yang berpengkalan di Kuala Lumpur hari ini telah memperkenalkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi 4×4 yang direkacipta dan dibangunkan oleh mereka sendiri untuk tujuan pasaran tempatan dan antarabangsa.


Dengan pasukan yang terdiri daripada pakar-pakar berkemahiran tinggi, MILDEF mempunyai rekod prestasi yang baik di dalam semua aspek penyelenggaraan, pembaikan dan membaikpulih jentera-jentera berat beroda dan berantai.


Sejajar dengan fasa baru pembangunan syarikat, MILDEF mula menceburkan diri di dalam bidang pembinaan kenderaan tempur berperisai yang berkemampuan merentasi pelbagai bentuk halangan muka bumi, serta mempunyai keupayaan tinggi di dalam sebarang situasi pertempuran.


Buat masa ini dirujuk sebagai MILDEF HMAV4x4 (mungkin maksud High Mobility Armoured Vehicle), kenderaan berperisai mobiliti tinggi ini dibina berlandaskan pelantar modular dengan rangkaian spesifikasi daripada yang asas sehingga yang paling canggih untuk memudahkan sebarang pengubahsuaian dan memenuhi spesifikasi mana-mana negara yang ingin menggunakan aplikasi tersebut. Dilengkapi dengan sistem persenjataan moden bersama grenade launcher, kenderaan berperisai ini direkacipta menggunakan sistem Stesen Senjata Kawalan Jauh atau Remote Control Weapon Station (RCWS) yang membolehkannya menembak secara 360 darjah semasa bertempur.


Ini memberikannya keupayaan untuk menembak sasaran menggunakan sistem kawalan jauh dengan bantuan skrin paparan agar penembak terlindung secukupnya. Aplikasi ini juga memastikan penembak kekal selamat di dalam kenderaan.


Dengan berbekalkan pengalaman dan teknologi terkini di dalam pembuatan kenderaan berperisai 4×4 yang telahpun berada di pasaran, MILDEF HMAV4x4 dibina dengan dilengkapi perlindungan perisai bawahan Stanag 4569 Level 2B dan perlindungan perisai badan Stanag 4569 Level 2 untuk melindungi kru di dalam kenderaan tersebut.


Selain itu, syarikat ini telah bekerjasama dengan Caterpillar, pembekal enjin terulung di pasaran, untuk membekalkan enjin berdasarkan prestasi enjin mereka yang lasak, berteknologi tinggi dan mampu bertahan di dalam apa jua situasi.


Menurut Dato’ Sri Mohd Nizam bin Kasa, Pegawai Ketua Eksekutif MILDEF, “Kami di MILDEF amat berbangga dengan pembinaan kenderaan berperisai mobiliti tinggi 4×4 buatan Malaysia ini.


Nisbah kuasa dan berat untuk MILDEF HMAV4x4 adalah 24 kuasa kuda/tan. Ia memberikan pelepasan ruang bawah yang luas untuk kenderaan ini agar dapat melepasi pelbagai halangan dengan mudah.


Sistem suspensi bebas dengan penggunaan spring gegelung memberi keselesaan yang lebih di dalam kabin justeru melancarkan mobiliti kenderaan ini.


Dalam kejadian yang sukar seperti seperti kebocoran tayar, Sistem Inflasi Tayar Berpusat atau Central Tire Inflation System (CTIS), yang boleh diakses daripada panel dashboard membenarkan pengisian angin ke dalam tayar dan membantu pengeluaran udara dari dalam tayar untuk membolehkan kenderaan ini kembali bergerak.


Pintu belakang MILDEF HMAV4x4 pula dilengkapi sistem hidraulik yang menjadikan kenderaan 4×4 ini unik dan versatil serta sesuai digunakan di dalam misi ketenteraan dan bersiap sedia untuk diatur gerak dalam mana-mana misi pengaman seperti misi PBB.


Pintu tanjakan di belakang kenderaan ini memudahkan pergerakan kru keluar dan masuk serta mengikut spesifikasi dan mudah untuk diatur gerak dalam pelbagai situasi dan operasi.


Dalam sidang media, Mohd Nizam berkata, syarikat menghabiskan RM16 juta untuk proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta mengambil masa empat tahun untuk dibangunkan.


“Kami menyasarkan untuk mengganti kenderaan Condor Tentera Darat yang sudah mencapai usia 30 tahun namun jumlah unit masih belum dimuktamadkan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat R&D MILDEF di sini hari ini.


Dalam pada itu, Mohd. Nizam memaklumkan, HMAV4X4 akan dibawa untuk pandu uji di seluruh negara oleh tim penilaian Tentera Darat pada hujung bulan ini dengan fasa akhir ujian di Gemas, Negeri Sembilan.


Katanya, pihak MILDEF telah mengesahkan tempahan lebih daripada 100 unit kenderaan itu daripada beberapa negara Asia Tenggara dan Asia Barat.


“Kenderaan ini jauh lebih murah daripada kenderaan Eropah dan kami juga bersedia berkongsi teknologi dengan negara pengguna,” katanya


Ketika menjelaskan idea di sebalik pembuatan kenderaan berperisai 4×4 Malaysia yang pertama ini, Mohd Nizam berkata, “Sebelum ini, kita terlalu bergantung kepada pembekal antarabangsa dan ini sering menimbulkan isu apabila tiba keperluan untuk servis selepas jualan. “


“Bagi menyelesaikan masalah ini, Malaysia perlu membina kenderaan berperisainya sendiri. Pada tahun 2016, MILDEF menyedari bahawa kami mempunyai kapasiti untuk melakukannya.

Kemajuan di dalam teknologi pembuatan merupakan salah satu sebab kami memulakan proses pembinaan kenderaan kami sendiri dengan mengambil inspirasi daripada rekabentuk kenderaan berperisai 4×4 terbaik yang lain di merata dunia.”


“Cabaran kami adalah untuk menunjukkan kepada pemain industri bahawa sebuah syarikat Malaysia mampu untuk merekacipta dan membangunkan kenderaan yang berupaya untuk bergerak pantas di pelbagai bentuk muka bumi dan boleh mencapai kelajuan lebih daripada 110KM sejam."


“Apa yang lebih penting, ia juga mampu menjalankan segala misi penting ketenteraan sambil menyediakan perlindungan secukupnya untuk kru yang terlibat. Untuk menjayakan projek ini, kami telah dibantu oleh Agensi Pertahanan Malaysia yang dikenali sebagai STRIDE dan Tentera Darat bagi mendapat khidmat nasihat dan kerjasama bagi memaksimakan kegunaan dan keupayaan kenderaan ini supaya selaras dengan aplikasi Piawaian Ketenteraan."


“Selepas bertungkus lumus selama beberapa tahun, kami amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa dua unit prototaip yang bersedia untuk diuji di dalam ujian percubaan telah berjaya siapkan.”


Selain daripada memperkenalkan ciptaan mereka ke pasaran tempatan, MILDEF juga merancang untuk menembusi pasaran ASEAN sebelum meninjau peluang untuk mengeksport kenderaan ini ke rantau lain.


MILDEF merupakan salah satu syarikat terulung yang membekalkan khidmat servis automotif kepada industri pertahanan di Malaysia.


Ia merupakan syarikat hakmilik penuh Malaysia yang berpusat di Kuala Lumpur, dan diiktiraf sebagai peneraju utama di negara ini dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan, pembaikpulih (MRO), kejuruteraan balikan, pembinaan semula kenderaan, pendawaian elektrik dan tangan serta juga dikenali sebagai pembekal Produk Track Link dan Run-flat yang mempunyai operasi yang sangat kukuh di negara ini.


Pasukan MILDEF terdiri daripada individu-individu yang berkemahiran tinggi dengan pengalaman yang luas di dalam semua aspek yang berkaitan dengan mesin berat.


Ditubuhkan sebagai Kembara Suci Sdn. Bhd. pada tahun 2005 dengan visi menjadi sebuah syarikat yang memberi impak besar kepada pasaran serantau.

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.