top of page
  • admin

Moody's jangka perbankan Islam Malaysia berkembang kepada dua angka pada 2022, 2023


KUALA LUMPUR,6 OKT: Industri kewangan Islam Malaysia dijangka berkembang lebih pantas pada 2022 serta tahun hadapan berbanding perbankan konvensional dengan pertumbuhan akan didorong oleh segmen peruncitan, menurut Moody's Investors Service.


Penganalisisnya Li Tengfu berkata industri perbankan Islam diunjurkan berkembang lebih pantas berbanding perbankan konvensional.


"Kita mungkin melihat beberapa mata peratusan yang lebih tinggi untuk perbankan Islam," katanya pada sidang meja bulat Kemas Kini Industri Kewangan Islam Moody's Investors Service di sini pada Rabu.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), diunjurkan menurun sedikit sebanyak enam peratus bagi 2022 dan 2023, harga komoditi seperti minyak dan minyak sawit mentah (MSM) pula akan menyumbang kepada permintaan terhadap produk serta perkhidmatan kewangan.


"Harga minyak masih berada pada paras yang agak tinggi dan pada masa sama, harga MSM masih jauh lebih tinggi berbanding paras sebelum pandemik iaitu 2019 dan 2018. Pada dasarnya, keadaan ini yang telah memacu jangkaan kita," katanya.


Beliau berkata negara pengeksport komoditi seperti Malaysia dan Indonesia juga menerima kesan pengimbangan daripada kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang agresif.

"Salah satu yang terjadi ke atas kita sekarang adalah pertumbuhan ekonomi yang sangat kukuh termasuk sudah tentu, kenaikan inflasi tetapi di Asia Pasifik seperti Malaysia dan Indonesia, kerajaan masih mempunyai kapasiti fiskal susulan manfaat daripada segi eksport komoditi yang boleh mereka gunakan bagi mengimbangi impak tersebut.


"Itulah sebabnya saya fikir di Malaysia dan Indonesia, anda melihat bahawa kenaikan kadar dasar mungkin lebih sederhana berbanding dengan apa yang berlaku di AS atau di negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC),'' katanya.


Penganalisis kanan Ashraf Madani berkata kenaikan kadar AS telah memberi kesan kepada terbitan Sukuk daripada korporat dan institusi kewangan, yang lebih sensitif terhadap kadar faedah yang lebih tinggi berbanding sukuk kedaulatan.


Beliau berkata ini dapat dilihat dalam angka terbitan bagi separuh pertama 2022 di GCC dan Asia Tenggara.


Menurut Ashraf lagi, aktiviti penerbitan Sukuk mungkin bertambah baik pada separuh kedua tahun ini dalam sektor korporat dan kewangan.


"Sekarang, kita mula melihat beberapa tanda kestabilan. Malah, kita sedang menyaksikan penurunan kadar jangka panjang walaupun Rizab Persekutuan meningkatkan kadar sebanyak 75 mata asas," katanya.


Secara keseluruhan, Moody's Investors Service mengunjurkan aktiviti terbitan Sukuk global mengukuh lagi pada separuh kedua 2022 dan mengakhiri tahun ini pada US$160-US$170 bilion (US$1=RM4.63).

-- BERNAMA

Comments


bottom of page