top of page
  • newsatmy

Moratorium: 2.6 juta peminjam, nilai keseluruhan RM452.5 bil diluluskan

22 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Sejumlah 2.6 juta peminjam bank diluluskan permohonan moratorium mereka menerusi tiga Pakej Rangsangan Ekonomi meliputi PRIHATIN, PEMERKASA Tambahan dan PEMULIH.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata nilai pinjaman terkumpul moratorium dianggar berjumlah RM452.5 bilion.


Jelasnya, daripada jumlah itu RM101.4 bilion melibatkan pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM351.1 bilion melibatkan peminjam individu.

"Seramai 2.6 juta peminjam telah menikmati kemudahan ini, yang terdiri daripada 2.5 juta peminjam individu dan 81,100 PKS.


"Kadar kelulusan bantuan moratorium kepada peminjam adalah 99 peratus sejak Julai 2021," memetik jawapan bertulis yang dikemukakan di Dewan Rakyat bertarikh 29 September 2021.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta yang ingin tahu peratus peminjam bank yang telah diluluskan permohonan dan nilai keseluruhan yang terlibat dalam pelaksanaan moratorium di bawah Pakej PEMULIH serta sama ada terdapat aduan daripada peminjam yang telah ditolak permohonan moratorium oleh bank.


Menjawab soalan tersebut, Tengku Zafrul berkata peminjam yang menghadapi kesukaran semasa berurusan dengan pihak bank atau permohonan bantuan bayaran balik pinjaman ditolak, mereka boleh menghubungi Bank Negara Malaysia secara terus melalui BNM TELELINK.


"Sebagai makluman, jumlah aduan yang diterima melalui BNM TELELINK adalah pada kadar yang agak rendah sepanjang tempoh PEMULIH (antara Jun hingga Ogos 2021), iaitu 0.46 peratus daripada jumlah permohonan yang diluluskan," katanya.


Jelasnya, permohonan masih dibuka kepada peminjam yang memerlukan dan hanya perlu menghubungi bank masing-masing.

bottom of page