top of page
newsatmy

NCIA bantu perniagaan, pekerja terjejas COVID-19

21 April 2021

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memperkenalkan Program Intervensi Strategik Industri Terjejas COVID-19 Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCSIP) bagi membantu kelangsungan perniagaan yang terkesan akibat pandemik itu.


NCSIP bertujuan membantu syarikat terbabit di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menawarkan kerja baharu untuk pekerja diberhentikan menerusi padanan kerja dengan perniagaan lain.


Selain itu, insentif upah untuk syarikat melalui program intervensi 'fast track' NCIA, JomKerja@NCER dan Program Peningkatan Bakat NCER (NTEP).


"JomKerja@NCER dan NTEP adalah program yang dirancang sewajarnya bagi membantu syarikat mengekalkan pekerja serta mengembangkan perniagaan ketika tempoh mencabar ini. Malah, insentif itu akan membolehkan syarikat menguruskan aliran tunai dengan lebih berkesan," kata Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John, dalam kenyataan pada Selasa.


Beliau berkata, NCSIP turut disambut baik oleh syarikat serta mereka yang diberhentikan kerja akibat pandemik itu.


Selain itu, dalam kenyataan sama, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, selepas mempengerusikan Mesyuarat Suku Tahun Jawatankuasa Pemandu Negeri Perak di Ipoh hari ini, berkata bantuan program itu melengkapi usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.


"Saya optimis walaupun dalam persekitaran semasa pandemik COVID-19, NCIA terus bekerjasama baik dengan Kerajaan Persekutuan dan agensi Negeri untuk membawa masuk pelaburan langsung domestik dan asing yang sememangnya diperlukan bagi meningkatkan ekonomi negeri dan sumber pendapatan rakyat, terutama dari segi mewujudkan kerja," katanya.


Di bawah NCSIP, pihak NCIA bertindak memudahkan pekerja yang diberhentikan daripada beberapa syarikat beroperasi di Perak yang telah terjejas akibat pandemik serta terpaksa mengurangkan kos tenaga kerja masing-masing.


Menurut NCIA, baru-baru ini, lebih 700 pekerja Silverstone Bhd yang bakal diberhentikan menjelang 30 Jun 2021, sebaliknya berjaya diserap serta ditawarkan kerja baharu oleh Toyo Tires Malaysia, Carsem Sdn Bhd dan OneTexx Sdn Bhd menerusi kemudahan JomKerja@NCER dan NTEP.


Selain itu, kalangan siswazah menganggur, pekerja yang diberhentikan dan lepasan sekolah yang mendaftar di bawah JomKerja@NCER, akan diberi latihan bagi meningkatkan kemahiran atau latihan semula untuk menyuntik kelebihan kebolehpasaran mereka.


Pada masa sama, syarikat-syarikat juga diberi insentif upah sehingga RM1,000 bagi setiap pekerja yang diambil menerusi JomKerja@NCER bagi tempoh sehingga enam bulan.


NTEP pula berperanan untuk meningkatkan kebolehpasaran dan penyediaan peluang kerja siswazah yang masih menganggur dan pekerja diberhentikan menerusi insentif modal insan yang disediakan untuk industri.


-BERNAMA

Comments


bottom of page